Ahad, 24 Jun 2018 | 9:40pm
PEMAIN hoki negara, Fatin Shafika Sukri memulakan pesta gol skuad negara pada minit ketujuh. - Foto Aziah Azmee

Hong Kong mangsa terbaru Malaysian Tigress

KUALA LUMPUR: Meskipun banyak mensia-siakan peluang, skuad hoki wanita negara masih mampu membelasah Hong Kong 10-0 pada Kejohanan Hoki Siri Terbuka Singapura di Stadium Sengkang, hari ini. 

Kemenangan itu adalah yang kedua dilakar Malaysian Tigress selepas membelasah Indonesia 18-0 semalam dan kini pasukan bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah dapat berehat sehari sebelum bertemu Kazakhstan, Selasa ini. 

Kazakhstan pula hanya dapat menewaskan Indonesia 8-0, hari ini. 

Kejohanan Hoki Siri Terbuka Singapura yang sebelum ini dikenali sebagai Pusingan Pertama Liga Hoki Dunia, adalah sebahagian daripada kempen kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. 

Skuad negara memperoleh lebih 19 pukulan sudut penalti namun hanya mampu menyempurnakan enam daripadanya. 

Fatin Shafika Shukri memulakan pesta gol skuad negara pada minit ketujuh sementara gol lain disumbangkan oleh Nur Amirah Shakirah (m-17, 46), Nuraini Rashid (m-19, 48), Fazilla Sylvester Silin (m-22), Hanis Nadia Onn (m-32), Nuraslinda Said (m-42) dan Siti Noor Amarina Ruhani (m-53, 57). 

"Ya, kami gagal menyempurnakan banyak pukulan sudut penalti dan perlu memperbaiki aspek ini apabila bertemu Kazakhstan dan Thailand. 

"Walaupun kami menjaringkan 10 gol, namun kami perlu lebih baik dalam melakukan pukulan sudut penalti dan ia perlu bermula apabila bertemu Kazakhstan," kata pengurus pasukan, Lailin Abu Hassan. 

Berita Harian X