Isnin, 25 Jun 2018 | 9:29pm
DHAARMA Raj Abdullah (baju biru) ketika memberi arahan kepada pemainnya ketika bertemu Hong Kong pada Kejohanan Hoki Siri Terbuka Singapura.
DHAARMA Raj Abdullah (baju biru) ketika memberi arahan kepada pemainnya ketika bertemu Hong Kong pada Kejohanan Hoki Siri Terbuka Singapura.

Dhaarma sedia sahut cabaran

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah diletakkan sasaran tinggi pada Sukan Asia Jakarta-Palembang, namun beliau serta pemainnya sedia menyahut cabaran berkenaan. 

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meletakkan skuad wanita dalam Kategori B yang bermakna, mereka perlu membiayai sendiri kos perbelanjaan ke temasya itu dan badan yang memayungi persatuan sukan kebangsaan itu hanya akan membayar semula sekiranya mereka membawa pulang pingat. 

Malaysia sentiasa berada dalam kedudukan lima terbaik di Asia, namun Dhaarma meletakkan sasaran lebih tinggi pada saingan di Jakarta dari 10 Ogos sehingga 2 September depan. 

"Ia pasti bukan mudah tetapi dalam apa juga kejohanan, saya sentiasa beritahu mereka supaya tidak takut dengan mana-mana pasukan dan cuba meraih keputusan lebih baik. 

"Kami sudah melakukannya sejak dua tahun lalu dan akan cuba melangkah sehingga ke separuh akhir. Kemudian cuba untuk memenangi pingat di Sukan Asia," katanya. 

Sementara itu, selepas membelasah Indonesia 18-0 serta Hong Kong 10-0, skuad wanita akan bertemu Kazakhstan pada perlawanan ketiga Kejohanan Hoki Siri Terbuka Singapura di Stadium Sengkang, esok. 

"Kami menewaskan Kazakhstan 2-1 pada pertemuan terakhir dan saya jangkakan mereka lawan paling sukar pada saingan kali ini. Kami perlu lebih kemas dalam melakukan pukulan sudut penalti kerana gagal menyempurnakannya dengan baik pada dua perlawanan sebelum ini," kata Dhaarma. 

Malaysia memperoleh 39 pukulan sudut penalti tetapi hanya mampu menyempurnakan 10 daripadanya. 

"Ya, kami dihadiahkan 39 pukulan sudut penalti dalam dua perlawanan sebelum ini dan hanya menjaringkan 10 gol. Perkara paling utama ialah kami perlu tajam pada baki dua perlawanan bertemu Kazakhstan dan Thailand. 

"Saya jangkakan Kazakhstan akan bermain secara bertahan dan bergantung kepada serangan balas. Mereka mempunyai barisan penyerang yang laju yang sering memberi masalah kepada kami pada pertemuan terakhir sebelum ini," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X