Selasa, 3 Julai 2018 | 12:27pm
SITI Rahmah Mohamed Nasir. - Foto Osman Adnan

Siti Rahmah pulih sepenuhnya untuk ke Sukan Asia

KUALA LUMPUR: Jaguh silat wanita negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir sudah bersedia untuk merealisasikan impian membawa pulang pingat emas Sukan Asia di Jakarta, bulan depan.

Siti Rahmah yang berehat selama lebih empat bulan selepas mengalami patah tangan kiri pada satu pertandingan di Belanda, November lalu kini bukan sahaja sudah pulih sepenuhnya, malah kembali cergas.

Malah, berdasarkan persembahannya pada Terbuka Belgium, Mei lalu, juara dunia itu yakin sudah mendapat semula prestasi terbaik walaupun gagal membawa pulang pingat emas selepas penyertaannya pada final dibatalkan kerana melanggar peraturan perlawanan.

"Pada final itu saya secara tidak sengaja tertumbuk muka lawan dari Indonesia (Pipiet Kamelia). Walaupun kecederaannya tidak serius, namun kerana peraturan tidak membenarkan, juri telah membatalkan penyertaan saya.

"Meskipun agak kecewa namun secara keseluruhannya saya sangat berpuas hati dengan prestasi diri sendiri kerana ia adalah penyertaan pertama selepas pulih daripada kecederaan," kata Olahragawati Kebangsaan 2016 itu.

Siti Rahmah bersama skuad silat negara akan membuat persiapan terakhir menjelang Sukan Asia dengan menjalani latihan serta persahabatan di Vietnam pada 10 hingga 25 Julai ini.

Pada Sukan Asia nanti, Siti Rahmah akan bertanding kelas D Puteri (60kg-65kg) walaupun sebelum ini pernah meraih gelaran dunia dalam kelas E pada Kejuaraan Pencak Silat Dunia di Bali 2016.

Keputusan menurunkan kelas itu diputuskan oleh Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) selepas tuan rumah dan Vietnam melakukan percaturan sama.

Ini adalah kali pertama silat dipertandingkan di Sukan Asia, jadi Siti Rahmah mahu memastikan dia mencipta sejarah sebagai penyumbang pingat emas.

Apatah lagi, atlet kelahiran Terengganu itu sekali lagi mengulangi hasratnya untuk bersara selepas temasya sukan berkenaan bagi mengalihkan tumpuan kepada bidang kejurulatihan.

"Saya mahu menamatkan karier saya dengan kenangan indah, sudah tentu dengan memenangi emas Sukan Asia yang akan menjadi emas pertama dan terakhir saya di sukan itu kelak," ujar Siti Rahmah.

Berita Harian X