Khamis, 5 Julai 2018 | 8:04pm
ABDUL Azim (dua dari kiri) beramah mesra dengan sebahagian pemain skuad boling negara di Sunway Piramid, Petaling Jaya. - Foto Aizuddin Saad
ABDUL Azim (dua dari kiri) beramah mesra dengan sebahagian pemain skuad boling negara di Sunway Piramid, Petaling Jaya. - Foto Aizuddin Saad

Skuad boling wanita jadi pertaruhan di Palembang

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih boling negara, Holloway Cheah berharap skuad wanita mampu mempamerkan aksi terbaik seterusnya merealisasikan sasaran satu pingat emas di Sukan Asia Jakarta-Palembang bulan depan.

Holloway meletakkan sasaran satu emas di Palembang memandang perubahan format saingan dan juga lawan yang bakal dihadapi.

"Boling sentiasa menjadi prospek emas di Sukan Asia, hanya temasya yang lalu (Incheon) kami terlepas emas," kata Holloway selepas sesi pertemuan bersama skuad negara bersama ketua kontinjen Sukan Asia, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi di pusat latihan Sunway hari ini.

"Tapi kali ini berbeza apabila hanya enam emas ditawarkan berbanding 10 emas pada edisi lalu. Tiada kategori individu atau beregu. Hanya trio, berpasukan dan masters. Kali ini sistem pemarkahan juga berbeza, faktor ini sedikit menjejaskan keputusan.

"Kami mengharapkan satu emas (sasaran) berdasarkan pingat yang ditawarkan. Ia tidak mudah kerana Korea Selatan sangat kuat. Pasukan wanita Singapura juga kuat begitu juga Jepun dan kita sendiri."

Holloway mendedahkan persembahan memberangsangkan skuad wanita di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dan kejayaan muncul juara dunia pada penghujung tahun lalu meletakkan mereka sebagai pilihan untuk meraih emas dalam acara berpasukan.

Shalin Zulkifli, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Sin Li Jane dan Natasha Roslan menamatkan penantian sedekad untuk emas di Kejohanan Dunia di Las Vegas Disember lalu.

Bagaimanapun, Holloway masih belum memuktamadkan senarai pemain yang akan mengibarkan cabaran di temasya itu dengan lima pemain itu dijangka dikekalkan.

"Kami melihat acara berpasukan (wanita) berpeluang cerah namun kategori lain juga mempunyai peluang," kata Holloway.

"Sama ada kami suka atau tidak, pasukan wanita kita adalah juara dunia sekarang. Mereka juga menang emas di Singapura (2015) dan Sukan SEA tahun lalu.

"Satu yang baik ialah pasukan wanita kita tahu mereka disandarkan harapan untuk emas, namun saya tidak mahu memberi tekanan kepada mereka.

"Biarpun begitu, tidak bermakna pasukan lelaki kita tidak mempunyai peluang. Peluang dalam acara lelaki sangat terbuka dan sesiapa saja boleh menang. Di Kejohanan Dunia mereka menamatkan aksi di tempat kelima, jadi sudah pasti mereka juga mempunyai peluang."

Malaysia meraih empat perak di Sukan Asia Incheon 2014 menerusi trio lelaki dan berpasukan selain beregu wanita dan all events.

Berita Harian X