Khamis, 12 Julai 2018 | 1:00am
PEMAIN boling lelaki dan wanita Sarawak mengungguli Kejohanan  Antara Negeri di Sunway Mega Lanes. - Foto OWEE AH CHUN

Sarawak laung amaran awal

SUBANG JAYA: Sarawak melaungkan amaran awal untuk mengekalkan kejuaraan keseluruhan dalam acara boling di Sukan Malaysia (SUKMA) Perak, September ini apabila menguasai Kejohanan  Antara Negeri.

Pada hari terakhir kejohanan di Sunway Mega Lanes hari ini, Sarawak mendominasi dengan meraih tiga dari empat gelaran. 

Sejak meraih kemenangan dalam acara perseorangan lelaki Isnin lalu melalui Abg Afiq Yazid Abg Azman, Sarawak semakin bernafsu apabila gandingan Abg Afiq, Christopher Tiong, Ervin Lim dan Mohd Uzair Irsyad Noor Azrul mengumpul 4,802 mata dalam acara berpasukan lelaki untuk menewaskan kombinasi Negeri Sembilan, Noor Afizal Azizan, Muhd Al Qayyum Syafiq, Shamsul Riza dan Mohd Fadli Ramli yang kurang 230 jatuhan pin. 

Tempat ketiga diraih Mohd Arif Iskandar, Azidi Ameran, Mustafa Yassin dan Wan Nadzmi Fikri, yang mengumpul 4,544 mata. 

Gandingan Dayang Khairuniza Dhiyana, Nerosha Keligit, Nur Aina Kamalia Abd Ayub dan Nur Hazirah Ramli, terus menceriakan kem Sarawak apabila juara acara berpasukan wanita dengan melakukan 4,377 jatuhan pin. 

Pingat perak diraih Negeri Sembilan melalui gandingan Hurul Ainul, Nada Nawwarah, R Nassmitha dan Syazana Aqilah Lokman (4,346), manakala tempat ketiga milik pasukan Selangor yang menurunkan Qistina Zainal, Ili Syazana, Victoria Chin dan Nur Nais Zharifah (4,295). 

Abg Afiq turut meraih emas dalam acara individu keseluruhan lelaki, selepas membantu Sarawak memenangi lima emas, empat perak dan satu gangsa. 

"Kami tidak jangka mampu muncul juara keseluruhan kerana ini kali pertama pemain remaja kami beraksi dalam kejohanan ini. Bagaimanapun, kami berjaya melepasi jangkaan dengan memenangi acara berpasukan. 

"Bagaimanapun, memenangi tiga dari empat acara adalah sangat luar biasa. Kami sangat bangga dengan pemain kami," kata Naib Presiden Persatuan Boling Amatur Sarawak, Robert Lum. 

Kuala Lumpur muncul pasukan kedua terbaik keseluruhan selepas membawa pulang lima emas, satu perak dan dua gangsa, diikuti Negeri Sembilan dua emas, lima perak dan empat gangsa. 

Atlet Kuala Lumpur, Hee Kar Yen muncul juara individu keseluruhan wanita selepas meraih emas dalam acara perseorangan, beregu wanita bersama Sharon Koh. 

Kedua-duanya, Abg Afiq dan Kar Yen, juga mendapat slot secara automatik dalam Kejohanan Kebangsaan yang akan bermula Jumaat ini. 

Di SUKMA Sarawak dua tahun lalu, tuan rumah mengungguli acara boling selepas meraih 11 emas, empat perak dan satu gangsa.

Keputusan 

Berpasukan Lelaki:

EMAS: Sarawak  -  4,802 jatuhan pin

PERAK: Negeri Sembilan  - 4,572

GANGSA:  Selangor  -  4,544

Berpasukan Wanita:

EMAS: Sarawak  -  4,377

PERAK: Negeri Sembilan  -  4,346

GANGSA: Selangor  -  4,295

Individu Keseluruhan Lelaki:

EMAS:  Abg Afiq Yazid Abg Azman (SAR)  -  3,731

PERAK:  Mohd Fadli Ramli  (NSE)  -  3,698

BRONZE: Muhammad Bakri Husain  (PER)  -  3,691

Individu Keseluruhan Wanita:

EMAS:  Hee Kar Yen  (KUL)  -  3,618

PERAK:  Qistina Zainal (SEL)  -  3,575

GANGSA:  Sharon Koh  (KUL)  -  3,547

Berpasukan Remaja Wanita: 

EMAS: Sarawak  -  4,679

PERAK: Selangor  -  4,443

GANGSA: Sabah  -  4,341

Berpasukan Remaja Lelaki:

EMAS: Pulau Pinang  -  4,579 

PERAK: Sarawak  -  4,540

GANGSA: Sabah  -  4,473

Individu Keseluruhan Remaja Wanita:

EMAS: Siti Nurzulaika Ismail  (KUL)  -  3,545

PERAK: Nurul Alyssa Junaidi  (SAB)  -  3,500

GANGSA: Najwa Nazirah Mohd Amir  (KUL)  -  3,424

Individu Keseluruhan Remaja Lelaki:

EMAS: Sushanor Sihanor  (SAB)  -  3,734

PERAK: Mohd Nur Syafiq Mohd Amran  (SAR)  -  3,672

GANGSA: Wan Syami Razin (NSE)  -  3,635

Berita Harian X