Ahad, 22 Julai 2018 | 10:18pm
IZZAH Amzan - Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM

Izzah tepati ramalan raih dua emas

KUALA LUMPUR: Meskipun dianggap sebagai gimnas berpengalaman, Izzah Amzan tidak memandang rendah kekuatan gimnas muda yang dikatakan memberi saingan sengit pada Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) ke-10 kali ini.

Biarpun sudah menyapu dua pingat emas yang dipertandingkan dalam acara individu keseluruhan dan berpasukan hari ini, Izzah berkata dia perlu berhati-hati apa lagi empat acara aparatus akan berlangsung esok.

"Hari ini adalah permulaan yang baik bagi saya tetapi itu bukan bermakna saya tak gementar tadi.

"Saingan yang diberikan bukanlah mudah untuk saya dan saya tak boleh pandang rendah kekuatan gimnas lain. Saya tak boleh terlalu bertenang dengan tentangan yang diberikan," kata Izzah selepas majlis penyampaian hadiah di Dewan Gimnasium 1 Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini.

Dalam acara individu keseluruhan hari ini, Izzah, 18, menghadiahkan emas selepas mengumpul 55.150 mata diikuti rakan senegara, Ng Jia Wen yang mencatat 44.800 mata serta gimnas Thailand, Kanpicha Patanasak di tempat ketiga (42.200 mata).

Izzah sekali lagi membantu merangkul emas dalam acara berpasukan bergandingan dengan Jia Wen, Iris Hoo dan Rayna Hoh apabila mencatatkan 131.950 mata. Gimnas Thailand berada di tempat kedua dengan 107.300 mata manakala gimnas Indonesia di tempat ketiga dengan 80.850 mata.

"Untuk esok, saya akan cuba lakukan yang terbaik. Cuba menyamai atau lebih daripada apa yang saya peroleh di Singapura tahun lalu (empat emas)," kata Izzah.

Hari kedua ASG2018 berakhir dengan Malaysia menduduki tempat kedua keseluruhan pungutan pingat apabila merangkul lapan emas, 14 perak dan tujuh gangsa di belakang Indonesia yang mengumpul sembilan emas, lapan perak dan 11 gangsa. Tempat ketiga diduduki Thailand dengan lapan emas, lapan perak dan 11 gangsa.

Berita Harian X