Isnin, 23 Julai 2018 | 4:16pm
ATLET Malaysia, Izzah Amzan bagi acara gimrama pada Kejohanan Olahraga Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN di MSN Bukit Jalil. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Gimnas negara sapu bersih semua emas

 

KUALA LUMPUR: Skuad gimrama negara menutup tirai Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) dengan bergaya apabila menyapu bersih kesemua enam pingat emas yang dipertandingkan. 

Hari ini empat lagi emas dipertandingkan menerusi acara aparatus belantan, bola, gelung dan riben yang menyaksikan gimnas negara mengungguli kedudukan satu dua. 

Paling menyerlah pastinya gimnas berpengalaman negara, Izzah Amzan apabila menyumbangkan lima emas dan satu perak sepanjang dua hari acara itu dipertandingkan. 

Selepas menyumbangkan dua emas dalam acara keseluruhan dan berpasukan semalam, aksi konsisten menerusi persembahan rutin membolehkan gimnas berusia 18 tahun itu menambah tiga lagi emas dalam acara belantan, bola dan riben selain satu perak dalam acara gelung, hari ini. 

Perak yang diraih ketika Sukan Komanwel Gold Coast sudah cukup meletakkannya sebagai gimnas pilihan seterusnya memperbaiki pencapaian di ASG Singapura tahun lalu. 

"Saya lega dan gembira kerana berjaya memperbaiki pencapaian tahun lalu apabila sekadar meraih empat emas, satu perak dan satu gangsa. 

"Tambahan pula saingan kali ini tidak mudah kerana pencabar lain menghantar ramai gimnas muda yang berbakat," katanya yang akan mewakili negara buat pertama kali di Sukan Asia Jakarta-Palembang, bulan depan. 

Izzah memungut emas pertama dalam acara belantan apabila meraih 15.500 mata sekali gus menewaskan rakan senegara, Rayna Hoh (14.350) dan gimnas Thailand, Arisa Thnthathoedtam dan Althea Descutido dari Filipina (10.850) yang berkongsi gangsa. 

Izzah terus menyerlah apabila meraih emas kedua dalam disiplin bola dengan mengumpul 14.350 mata diikuti Ng Jia Wen (11.600), manakala Wahyu Yolanda Putri dari Indonesia dan gimnas Singapura, Angelina Lin berkongsi tempat ketiga (9.950).

Rayna bagaimanapun berjaya mengubati kekecewaan apabila meraih emas dalam acara gelung selepas menghimpun 14.900 mata, menewaskan Izzah (14.300) dan Piyada Peeramatukorn (10.550)   

Namun, Izzah membuktikan kehebatannya apabila bangkit menguasai acara riben selepas meraih 11.550 mata diikuti Iris Hoo (11.350) dan Kanpicha Patanasak dari Thailand (9.450).

 

 

Berita Harian X