Selasa, 7 Ogos 2018 | 8:48pm
PRESIDEN MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (tiga,kiri) bersama Ketua Kontinjen Negara, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi (empat dari kanan) dan Pengurus Bata Malaysia, Ajay Ramachandran (empat dari kiri) melihat kasut sukan tajaan Bata pada Majlis Penajaan Bata kepada Kontinjen Sukan Asia Jakarta Palembang 2018 di Wisma MOM, hari ini. - Foto BERNAMA
PRESIDEN MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (tiga,kiri) bersama Ketua Kontinjen Negara, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi (empat dari kanan) dan Pengurus Bata Malaysia, Ajay Ramachandran (empat dari kiri) melihat kasut sukan tajaan Bata pada Majlis Penajaan Bata kepada Kontinjen Sukan Asia Jakarta Palembang 2018 di Wisma MOM, hari ini. - Foto BERNAMA

MOM beri amaran NSA

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memberi amaran kepada persatuan sukan kebangsaan (NSA) yang didapati mengarahkan atlet mereka yang diletakkan di bawah kategori B ke Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang untuk mencari perbelanjaan sendiri.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata pihaknya mendengar rungutan daripada pihak tertentu mengenai perkara itu dan berharap perkara itu tidak berlaku lagi.

"Saya mahu ingatkan kerana pada kali ini kita bermurah hati memberi lebih banyak tempat bagi lebih banyak sukan untuk turut serta. Kepada NSA yang sudah diberi peluang, saya minta jangan dipersiakan peluang ini.

"Jangan sampai kami tidak membuka peluang lagi seperti ini pada masa hadapan. Mereka mesti ingat semula kepada janji mereka (ketika rayuan memasukkan atlet dalam kategori B)," katanya selepas mempengerusikan meyuarat Exco di sini hari ini.

Beliau menjelaskan perkara itu bagaimanapun adalah kes terpencil namun bukti terperinci masih belum diperoleh.

"Kami tidak mahu perkara ini berlarutan kerana atlet perlu fokus pada tanggungjawab mereka iaitu berlatih dan menjalani persiapan untuk berada di prestasi terbaik. Kini persatuan perlu ingat mereka perlu membuat bayaran sebelum pergi ke temasya, itu adalah perjanjiannya," katanya.

Norza turut mendedahkan ada menerima email daripada beberapa persatuan sukan yang meminta MOM membuat bayaran bagi atlet mereka di bawah kategori B.

"Ada persatuan yang atletnya di bawah kategori B tetapi pada saat akhir meminta kita biayai, kita tidak akan melayan permintaan begitu," katanya.

Seramai 241 atlet negara di letakkan di bawah Kategori B daripada 423 keseluruhan atlet sementara 68 pegawai daripada 150 pegawai diletakkan di bawah kategori B. 

Berita Harian X