Rabu, 8 Ogos 2018 | 8:38pm
Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merasmikan Galeri Majlis Sukan Negara (MSN) ketika Lawatan Rasmi Menteri Belia dan Sukan ke MSN, Institut Sukan Negara (ISN) dan Perbadanan Stadium Malaysia di Bukit Jalil. - Foto Hafiz Sohaimi

'Tak molek la' - Shapawi

KUALA LUMPUR: Datuk Ahmad Shapawi Ismail tidak bersetuju dengan tindakan sesetengah persatuan sukan kebangsaan membebankan atlet mereka yang diletakkan dalam kategori B dengan membiayai sendiri kos ke temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang bermula 18 Ogos depan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) itu menegaskan, menerusi perbincangan sebelum ini, semua persatuan sukan bersetuju menanggung perbelanjaan atlet mereka jika diletakkan dalam kategori B.

Mengikut polisi Majlis Olimpik Malaysia (MOM), hanya atlet yang berada dalam kategori A saja akan dibiayai oleh badan induk itu.

“Sekarang timbul pula isu persatuan lepas (tanggungjawab) kepada atlet pula. Itu yang tak berapa molek sikit.

“Jadi saya rasa persatuan perlu mencari jalan penyelesaian terbaik bagaimana cara untuk membolehkan atlet mereka menyertai Sukan Asia,” katanya selepas mengiringi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengadakan lawatan di MSN, Institut Sukan Negara (ISN) serta Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) hari ini.


Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melawat galeri selepas merasmikan Galeri Majlis Sukan Negara (MSN) ketika Lawatan Rasmi Menteri Belia dan Sukan ke MSN, Institut Sukan Negara (ISN) dan Perbadanan Stadium Malaysia di Bukit Jalil. - Foto Hafiz Sohaimi

Jelas Shapawi, sepatutnya isu itu tidak timbul sekiranya persatuan dan atlet memahami polisi MOM.

“Secara asasnya kalau atlet itu dalam kategori B, memang MOM tidak membiayai mereka.

“Pada masa depan adakah perlu lagi kategori B ini atau tidak, itu saya tak boleh jawab kerana ia di bawah kuasa MOM.

“Kalau persatuan masih mengekalkan polisi menyuruh atlet membayar sendiri kos, saya rasa perkara ini perlu dikaji semula,” katanya.

Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menerusi laporan hari ini memberi amaran kepada persatuan sukan kebangsaan supaya tidak membebankan atlet mereka dengan meminta mencari perbelanjaan sendiri.

Menurut Norza, mereka mendengar rungutan pihak tertentu mengenai perkara itu dan berharap ia tidak berulang.

Berita Harian X