Rabu, 15 Ogos 2018 | 6:24pm
GIMNAS negara, Amy Kwan. - Foto Eizairi Shamsudin

Amy tidak gentar cabaran Sukan Asia

KUALA LUMPUR: Gimnas negara Amy Kwan tidak mahu melepaskan peluang mempamerkan aksi terbaik pada penyertaan sulung di temasya Sukan Asia Indonesia-Palembang.

Biarpun mengakui sukar untuk menghadiahkan pingat dengan kehadiran jaguh kelas dunia dari Kazakhstan, Uzbekistan, Jepun dan China, Amy melihat perkara itu bukan halangan buat dirinya.

Malah, pemenang pingat emas Sukan Komanwel Gold Coast dalam acara riben itu berkata, peluang untuk setiap atlet yang bertanding sama rata dan semuanya bergantung pada hari pertandingan dan siapa yang mempamerkan persembahan terbaik dia yang akan meraih pingat.

“Jika bercakap mengenai pingat memang susah untuk saya komen. Tapi kami semua akan berusaha memberi yang terbaik untuk pasukan dan negara,” kata Amy. “Ada perubahan sedikit daripada segi pergerakan dan rutin nanti dan mungkin itu akan memberi kelebihan buat atlet negara.”

Mengulas persiapan barisan gimnas negara terdiri daripada Koi Sie Yan dan Izzah Amzan, Amy berkata semuanya berjalan lancar dan pencapaian meraih satu emas, tiga perak dan satu gangsa di Kejohanan Antarabangsa Marine Gracew awal bulan lalu diharapkan mampu memukau pengadil.

Bagi seorang lagi gimnas negara Sie Yan, peluang ke Sukan Asia pasti tidak akan disia-siakan.

Dia berharap dapat mempamerkan aksi sempurna bagi memastikan kepuasan dalam setiap penampilannya selain cuba untuk membantu pasukan mengumpul mata tertinggi.

Tiga gimnas negara itu beraksi cemerlang di Sukan Komanwel lalu apabila menghadiahkan satu emas, tiga perak dan tiga gangsa. Namun cabaran di Sukan Asia nyata berbeza dan pencapaian di Gold Coast tidak boleh dijadikan ukuran.

Jika bersandarkan pungutan pingat dalam dua temasya terakhir, skuad gimrama negara tidak berdepan masalah untuk sekurang-kurangnya menghadiahkan pingat gangsa.

Naib Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Patrina Low tetap menaruh harapan untuk tiga ratu gimrama berpengalaman negara itu melakar kejutan kali ini selepas gimrama tidak mengambil bahagian pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan.

 

Berita Harian X