Ahad, 26 Ogos 2018 | 8:21pm
(DARI kiri) Mohd Fauzi Khalid, Muhammad Faizul M Nasir dan Mohd Al Jufferi Jamari akan membawa cabaran negara setelah masing-masing layak ke peringkat final acara pencak silat pada Sukan Asia Jakarta Palembang 2018 di Padepokan Pencak Silat. - Foto BERNAMA

Dua pendekar ke final esok

 

JAKARTA: Kilauan emas menanti kontijen Malaysia selepas dua pendekar negara akan turun beraksi di pentas final esok.

Sandaran utama pencak silat, Mohd Al-Jufferi Jamari mengetuai empat pesilat negara ke final apabila menumbangkan lawan masing-masing di separuh akhir hari ini.

Al- Jufferi dijangka bertemu musuh tradisinya dari Indonesia, Komang Harik Adi Putra dalam kelas E (65kg ke 70kg) esok selepas menang aksi separuh akhir dengan lawan dari Kyrgyzstan, Zholdoshbek Akimkanov yang menarik diri kerana kecederaan pada aksi di Padepokan Pencak Silat, Taman Mini Indonesia Indah (TMII).

Turut beraksi di final esok ialah Muhammad Faizul Mohd Nasir dalam kelas B (50-55kg) yang dijadual menentang pesilat tuan rumah, Abdul Malik.

Dua lagi aksi final berlangsung pada Rabu menerusi Mohd Fauzi Khalid (kelas F) dan Mohd Khaizul Yaacob (kelas J).

Dua gangsa hari ini diperoleh Muhammad Robial Sobri (kelas I) dan Hazim Mohamad (kelas C) apabila masing-masing tewas di separuh akhir.

"Saya sangat berpuas hati kerana atlet negara sudah memberikan yang terbaik. Mereka beraksi dengan penuh semangat.

" Kita mengharapkan mereka yang mara ke final terus bersemangat untuk memastikan emas demi negara kerana sasaran tiga emas tidak berubah.

"Apa yang penting mereka perlu bersedia kerana pentas final pasti berbeza berbanding aksi kalah mati," kata Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

17 dibaca
Berita Harian X