Selasa, 28 Ogos 2018 | 2:40pm
MOHD Fauzi Khalid

Pendekar terus berjuang

 

JAKARTA: Berjuang hingga titisan darah terakhir.

Itu keazaman pesilat negara apabila akan turun merebut emas di Padepokan Pencak Silat Taman Mini Indonesia India (TMII), esok.

Selepas sandaran utama, Mohd Al-Jufferi Jamari terlepas emas semalam, sandaran kini terarah kepada dua lagi pesilat negara yang akan menentang lawan dari Vietnam pada final esok.

Juara dunia, Mohd Fauzi Khalid akan turun menentang Tran Dinh Nam dalam kelas F (70-75kg).

Keyakinan pesilat berusia 31 tahun itu pasti berada dalam tahap terbaik selepas menumbangkan lawan dari Indonesia, Amri Rusdana 3-2 di separuh akhir pada Ahad lalu.

Turut menjadi sandaran adalah dalam kategori J (90-95kg) dengan Mohd Khaizul Yaacob akan menentang Nguyen Van Tri.

“Peluang masih ada (meraih emas). Kita tetap bersemangat sehingga titisan darah terakhir.

“Pendekar Malaysia tidak pernah mengalah,” tegas Pengurus Besar Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Osman Nok.

Malaysia turut akan turun dalam dua aksi final silat seni wanita dalam acara ganda putri dan regu putri.

Setakat ini, Indonesia mempamerkan dominasi di pencak silat apabila menang semua lapan aksi final dipertandingkan.

Sukan subjektif ini baru pertama kali dipertandingkan di pentas Sukan Asia.

Berita Harian X