Khamis, 30 Ogos 2018 | 8:12pm

MAKAF akur pencapaian terburuk

 

KUALA LUMPUR: Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) menyifatkan pencapaian tanpa emas di Sukan Asia Indonesia kali ini adalah keputusan terburuk pernah diraih mereka dalam temasya berkenaan.

Turun dengan sasaran satu pingat emas, skuad karate negara yang terdiri daripada enam atlet sekadar menutup saingan di Pusat Konvensyen Jakarta dengan menyumbang satu pingat gangsa menerusi tuah bidan terjun S Prem Kumar yang beraksi dalam kategori kumite bawah 60kg.

"Saya fikir begitu," kata Setiausaha Agung MAKAF, Vincent Chen ketika ditanya adakah kegagalan itu yang terburuk sepanjang sejarah penyertaan Malaysia dalam acara itu.

"Apapun, tidak adil untuk kita mula menuding mana-mana pihak. Bagi saya semua perlu mengambil tanggungjawab ini bersama bukan saja atlet tetapi juga jurulatih, Makaf sebagai badan induk dan juga persatuan negeri."

Kem karate sebelum ini menjadi antara penyumbang utama emas negara sejak dua edisi lalu iaitu di Incheon 2014 dan Guangzhou 2010 dengan masing-masing meraih dua emas selepas gagal memenangi sebarang emas pada edisi 2006 Doha.

Bagaimanapun, kunjungan ke Jakarta kali ini pasti menyakitkan buat mereka terutamanya buat sandaran utama Syakilla Salni Jefry Krisnan yang beraksi dalam kategori 55kg apabila kecundang seawal pusingan pertama kepada juara edisi 2014, Wen Tzu-yun dari Taiwan.

Namun, Vincent tetap mempertahankan prestasi hambar Syakilla yang juga pembawa Jalur Gemilang kontinjen negara itu dengan berkata ia berpunca daripada pelbagai isu.

"Ramai yang bertanya mengapa Syakilla tersingkir awal, sebenarnya kami (MAKAF) sudah nampak dia mengalami kejatuhan prestasi pada beberapa kejuaraan terakhir selain menghadapi masalah isu berat badan.

"Faktor lain kerana kita juga terpaksa melupakan khidmat S Senthil pada saat-saat akhir selepas dia mengalami kecederaan di bahagian kepala untuk digantikan oleh Prem.

"Selain itu, faktor kelompok atlet karate yang kecil juga menjadi punca kami tiada banyak pilihan. Jika dahulu Kejuaraan Kebangsaan berjaya menarik sehingga 700 peserta, untuk 10 tahun terakhir ini hanya 200 peserta mengambil bahagian."

Berita Harian X