Sabtu, 1 September 2018 | 11:23pm
PEMAIN Jepun meraikan kejayaan meraih pingat emas acara hoki selepas menewaskan Malaysia menerusi penentuan penalti di Stadium Gelora Bung Karno, sebentar tadi. - Foto Reuters
TENGKU Ahmad Tajuddin (kanan) dan Fitri Saari kecewa selepas tewas kepada Jepun pada perlawanan akhir hoki Sukan Asia 2018. - Foto Fathil Asri
PASUKAN hoki Malaysia kecewa selepas kalah pada penalti shoot-out kepada Jepun. - Foto Fathil Asri
PASUKAN hoki Malaysia kecewa selepas kalah pada penalti shoot-out kepada Jepun. - Foto Fathil Asri
MUHAMMAD Razie Abd Rahim (kiri) meraikan gol pertama. - Foto Fathil Asri
MEOR Muhammad Azuan (tengah) cuba di halang pertahanan Jepun pada perlawanan akhir hoki Sukan Asia 2018, di Stadium Hoki, Gelora Bung Karno. - Foto Fathil Asri

20 saat musnahkan impian hoki

JAKARTA: Malaysia seharusnya menyalahkan diri sendiri selepas gagal mempertahankan kelebihan gol apabila tumbang 1-3 kepada Jepun menerusi penentuan shoot-out.

The Speedy Tigers mendahului lawan 4-2 pada separuh masa pertama namun tidak mampu mengekang kebangkitan Jepun yang berjuang sehingga wisel penamat untuk melakar keputusan 6-6.

Malaysia skuad kendalian Stephen Van Huizen bermula dengan penuh yakin apabila Mohd Razie Rahim mempamerkan kepakarannya menerusi pukulan sudut penalti seawal minit keempat bagi mendahului 1-0.

Namun ia tidak bertahan lama apabila lawan menjaringkan gol padang pada minit kesembilan menerusi Seren Tanaka.

Dua ledakan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil pada minit ke-11 dan 12 memberi kelegaan kepada skuad negara disusuli pukulan sudut penalti Faizal Saari pada minit ke-17.

Tuan rumah Olimpik 2020 itu merapatkan kedudukan menerusi gol kedua pada minit ke-23 untuk kedudukan 4-2 menuju akhir separuh masa pertama.

Jepun di ranking ke-16  dunia memperkemaskan permainan sebaik babak kedua bermula namun anak buah Van Huizen kekal berdisiplin mempertahankan gawang S Kumar agar tidak dibolosi dengan mudah.

Malaysia diranking ke-12 jelas tidak mahu bertahan dan memburu lebih banyak jaringan bagi memastikan kedudukan lebih selesa.

Akhirnya gol kelima hadir menerusi tolakan  Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad pada minit ke-50 namun ia hanya membakar semangat melawan lawan apabila Jepun meledak tiga gol menerusi Kentaro Fukuda (m52), Kenta Tanaka (m53) dan Koji Yamasaki (m58).

Tengku Ahmad Tajuddin meledak jaringan ketika perlawanan berbaki seminit menerusi pukulan sudut penalti namun ketika berbaki 20 saat, lawan menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti Hiromasa Ochiai.

Kejayaan menumbangkan juara bertahan, India pada separuh akhir dalam shoot-out tidak mampu diulangi apabila Faizal Saari, Meor Muhamad Azuan Hasan dan Tengku Ahmad Tajuddin gagal menerjah jaring untuk memberikan kemenangan 3-1 kepada lawan.

Berikutan itu skuad negara gagal meraih emas pertama di Sukan Asia dan tiket awal ke Olimpik Tokyo.

99 dibaca
Berita Harian X