Ahad, 2 September 2018 | 3:23pm
KETUA Kontijen Malaysia ke Sukan Asia (CDM),Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi. - Foto Nurul Shafina Jemenon
KETUA Kontijen Malaysia ke Sukan Asia (CDM),Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Badminton gagal, sukan subjektif perlu dikaji

JAKARTA: Sukan badminton antara yang dikategorikan gagal pada temasya Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang yang berakhir hari ini.

Ia antara rumusan diumumkan Ketua Kontinjen, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi mengenai pencapaian atlet negara pada Sukan Asia edisi ke-18 kali ini.

Kegagalan skuad badminton menyumbang sebarang pingat kepada kontinjen negara dilihat sebagai faktor mereka dikategorikan gagal walaupun ada ramai pemain bertaraf dunia.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan sasaran dua pingat tanpa mengira warna pada saingan di Istora Senayan itu.

Malah ia kali pertama dalam sejarah penyertaan Sukan Asia, mereka pulang dengan tangan kosong.

Lebih membimbangkan daripada tujuh emas yang diraih kontinjen Malaysia, hanya acara yang disertai Azizulhasni Awang (pecut individu) dipertandingkan di Sukan Olimpik 2020.

“Kami bahagikan pencapaian di Sukan Asia kepada tiga iaitu cemerlang, memuaskan dan gagal. Program latihan bagi badminton, karate, wushu dan silat perlu dilihat semula,” kata Azim.

Malah kedudukan sukan menembak, memanah, olahraga dan renang dalam Program Podium dijangka tergugat apabila Azim mencadangkan ia perlu dikaji semula.

“Aspek teknikal dan penghakiman sukan subjektif perlu diberi perhatian dengan usaha perlu diteruskan bagi meletakkan pegawai Malaysia di persatuan antarabangsa,” katanya.

Tiada sukan subjektif menyumbang emas kepada kontinjen negara di Sukan Asia kali ini dengan sandaran utama tiga emas kepada silat tidak kesampaian susulan dakwaan ketidakadilan juri dan beliau menjelaskan kebergantungan pingat terhadap sukan subjektif pada masa depan akan dikaji.

Sebagai tindakan susulan, Azim yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata, pasca nilai mengenai kegagalan dan kelemahan yang berlaku akan dilaksanakan selain sesi taklimat dan perbincangan bersama semua pihak yang berkepentingan dalam masa terdekat bagi menghadapi Sukan Olimpik 2020 dan temasya lain.

Pada masa sama, selain mencapai sasaran tujuh emas, atlet negara turut melakar enam rekod kebangsaan menerusi berbasikal (pecut berpasukan), memanah compound (dua rekod) dan renang (tiga rekod).

Malah Malaysia meraih dua tiket Sukan Olimpik 2020 menerusi sukan pelayaran.

Acara skuasy lelaki yang tidak diletakkan sasaran juara melakukan kejutan apabila meraih emas ketujuh negara malam tadi.

Secara keseluruhan Malaysia yang menyertai 35 jenis sukan, mengatasi pencapaian emas dan jumlah pingat berbanding edisi 2014 di Incheon.

Rumusan prestasi Sukan Asia mengikut 3 kategori:

Cemerlang: bowling, skuasy, berbasikal, pelayaran, sepak takraw.

Memuaskan: terjun, hoki lelaki, hoki wanita, ekuestrian, taekwondo, memanah, bola sepak, bola keranjang, ragbi 7 sebelah, paragliding.

Gagal: badminton, silat, karate, wushu, menembak, renang, renang artistik, olahraga, lawan pedang, golf, judo, sambo, tinju, bridge, gimnastik artistik, gimrama, bola baling, jetski, kabaddi, pingpong, kenu/kayak, roller sports, mendayung, mendaki, triatlon, bola tampar pantai.

Berita Harian X