Isnin, 3 September 2018 | 5:52pm
DATUK Seri Zolkples Embong - Foto OWEE AH CHUN

Perang bidaan atlet naturalisasi mungkin tercetus

KUALA LUMPUR: Suka ataupun tidak, penggunaan atlet naturalisasi pada kejohanan utama antarabangsa sudah menjadi kebiasaan.

Ia jelas dibuktikan pada Sukan Asia Jakarta-Palembang di mana negara Timur Tengah seperti Qatar dan Bahrain serta Jepun dan Korea Selatan menggunakan atlet naturalisasi.

Dengan langkah terbabit dilihat amat penting, persoalannya kini adakah Malaysia yang pernah menggunakan atlet naturalisasi sebelum ini perlu menggunakan lebih ramai atlet sebegitu.

Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong menegaskan dia tidak pernah menentang penggunaan atlet naturalisasi.

“Penggunaan atlet naturalisasi sudah menjadi ikutan sekarang, malah Jepun dan negara Timur Tengah juga banyak menggunakannya.

“Ketika saya masih bersama MSN, saya sentiasa bersetuju menggunakan atlet naturalisasi namun atas beberapa syarat.”

“Syarat pertama adalah atlet terbabit mestilah memiliki potensi yang besar. Sebelum ini, kita menggunakan atlet naturalisasi untuk bertanding pada kejohanan seperti Sukan SEA namun kita perlu mengambil atlet yang mampu menghadiahkan kejayaan di peringkat tertinggi seperti Olimpik dan Kejuaraan Dunia.

“Syarat kedua ialah kita tidak mengabaikan tanggungjawab kita dalam membangunkan bakat tempatan khususnya untuk tempoh jangka masa panjang.”

“Namun banyak negara yang saya tidak ingin sebutkan di sini menggunakan atlet naturalisasi namun tidak mencapai banyak kejayaan dengan langkah itu.”

Zolkples berkata, penggunaan atlet naturalisasi bukan hanya setakat untuk meraih kejayaan di peringkat antarabangsa namun mereka tetap perlu membantu membangunkan atlet tempatan.

“Mereka seharusnya boleh membantu perkembangan pemain tempatan dengan menjadi rakan sepelatih namun perkara itu tidak berlaku.

“Contohnya aksi bola sepak kita. Kualiti pemain import yang dibawa tidak jauh bezanya dengan pemain tempatan malah ada lebih rendah berbanding pemain kita sendiri.

“Bukan itu yang berlaku di Jepun dan Korea Selatan di mana mereka membawa masuk pemain yang lebih berkualiti menyertai liga mereka. Ini membantu meningkatkan kualiti bola sepak mereka.

Bekas Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi bimbang penggunaan atlet naturalisasi akan mencetuskan ‘perang bidaan’ antara negara.

“Adakah atlet naturalisasi akan menjadi rebutan antara negara yang boleh mengeluarkan lebih banyak wang bagi mendapatkan atlet lebih baik sehingga timbul persoalan mengenai wang dan bukannya melahirkan atlet?,” kata Kok Chi.

“Ini sudah berlaku dalam bola sepak di mana kelab lebih kaya membeli pemain lebih mahal sementara kelab kurang berkemampuan tidak dapat melakukannya. Adakah pingat emas begitu penting? Jadi ini memerlukan kawalan.”

Bahrain menimbulkan persoalan dalam acara olahraga di Sukan Asia 2018 apabila mereka menamatkan saingan dengan berkongsi kedudukan bersama kuasa besar sukan dunia, China.

Semua 12 pingat emas yang dimenangi negara itu dibantu oleh atlet kelahiran Maghribi, Kenya, Nigeria dan Ethiopia.

Bahrain sememangnya dikenali dengan tawaran lumayan yang diberikan kepada atlet naturalisasi selain saingan sengit di negara asal mereka menyaksikan mereka bertukar kerakyatan.

Selain sukan individu, acara berpasukan di Sukan Asia 2018 turut menyaksikan pembabitan beberapa atlet naturalisasi atau berdarah kacukan seperti bola keranjang dan ragbi di mana kelebihan fizikal memainkan peranan penting.

Sebagai contoh, Jepun menurunkan dua pemain Fiji dan seorang pemain kelahiran Tonga bagi acara ragbi tujuh sebelah membolehkan mereka menamatkan saingan di tempat kedua di belakang Hong Kong.

16 dibaca
Berita Harian X