Selasa, 4 September 2018 | 4:26pm
SIEH Kok Chi
SIEH Kok Chi

Program Podium hanya untuk setaraf Azizulhasni

KUALA LUMPUR: Hanya atlet berpotensi memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo 2020 ataupun setaraf dengan jaguh trek negara, Azizulhasni Awang saja layak diserap ke dalam Program Podium bagi mengelakkan daripada pembaziran terus berlaku.

Pandangan itu disuarakan bekas Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi selepas beranggapan program yang dimulakan pada 2016 dengan misi merealisasikan pingat emas pertama Malaysia di Tokyo itu sudah tersasar jauh dari matlamat utama.

"Sama ada program ini perlu diteruskan atau tidak, semuanya bergantung kepada penilaian teliti yang akan dijalankan," kata Kok Chi ketika mengulas kenyataan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Mazlan Ahmad yang mahukan Program Podium ditamatkan serta-merta.

"Tetapi persoalannya kini mengapa hingga 148 atlet diserap ke dalam Program Podium sedangkan yang benar-benar berpotensi memenangi pingat emas hanya tiga atau empat atlet.

"Sepatutnya Program Podium ini hanya perlu difokuskan kepada atlet seperti Azizulhasni kerana objektif utama adalah untuk mencari pemenang pingat emas pertama di Sukan Olimpik bukannya untuk mencari pemenang pingat perak atau gangsa, mahupun atlet yang sekadar layak ke temasya berkenaan.

"Kita sedia maklum yang kini hingga 2020 adalah fasa terakhir ke Jepun, jadi semestinya kita hanya perlu fokus kepada matlamat utama untuk memenangi emas."

Malah, Kok chi yang dianggap orang lama dan berpengalaman dalam sukan tempatan lantaran khidmatnya selama 25 tahun bersama MOM berkata, sudah tiba masa untuk atlet dipecahkan kepada tiga kumpulan bagi memastikan perbelanjaan yang dilakukan lebih berhemah.

"Sepatutnya atlet dipecahkan kepada kumpulan atlet berpotensi menang emas, diikuti kumpulan atlet yang layak tetapi tidak berpotensi memenangi pingat dengan atlet yang langsung tidak berpeluang layak harus disingkirkan daripada program.

"Mengapa kita perlu membuang duit untuk atlet yang tiada peluang untuk layak ke Olimpik, sebelum ini tidak mengapa untuk serap ramai atlet kerana pertandingan lebih tertumpu kepada Sukan Asia dan Sukan Komanwel."

Masa depan Program Podium yang makin samar berpunca daripada kegagalan kontinjen negara yang sekadar membawa pulang tujuh pingat emas, 13 perak dan 16 gangsa untuk menduduki tangga ke-14 keseluruhan di Sukan Asia Indonesia yang melabuhkan tirainya Sabtu lalu.

Pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast pada April lalu, kontinjen negara juga tidak berjaya menempatkan dalam kelompok 10 terbaik apabila sekadar berada di kedudukan ke-12 dengan membawa pulang tujuh emas, lima perak dan 12 gangsa.

Untuk rekod, Program Podium dimulakan pada 2016 dengan program bersepadu persediaan atlet elit itu diberi peruntukan RM75 juta pada tahun itu dengan Institut Sukan Negara (ISN) diberi tugas menjalankannya. 

Matlamat utama penubuhan Program Podium adalah untuk merealisasikan pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo 2020 selain muncul 10 pasukan terbaik pada Sukan Asia dan Sukan Komanwel 2018.

Berita Harian X