Selasa, 4 September 2018 | 7:06pm
SYED Saddiq (tengah) pada sidang media pasca Sukan Asia 2018 di kementerianya hari ini. Turut hadir, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Dr Mohd Khairi Zawi. - Foto BERNAMA

KPI untuk atlet, jurulatih

PUTRAJAYA: Semua atlet dan jurulatih akan diberi sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) pada setiap fasa latihan bagi membolehkan mereka tahu mengenai peranan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. 

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, KPI itu akan menjadi penentu kepada jumlah peruntukan yang akan diterima oleh semua pihak terutama persatuan sukan. 

Di samping itu, ia bagi memastikan mereka sentiasa berada di landasan yang betul dalam usaha memenangi pingat di temasya besar. 

"KPI baru ini amat penting. Saya tekankan perkara ini kerana terdapat beberapa sukan besar di mana mereka dapat peruntukan yang besar daripada kerajaan dan pihak penaja yang selalunya disokong dan didorong oleh kerajaan juga. 

"Bagi sukan-sukan ini, kalau mereka ingin tetap dapat peruntukan yang besar serta ingin mendapat bantuan kerajaan bagi menarik penaja,  maka mereka perlu buktikan dapat memberi sumbangan termasuklah memenangi pingat," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media pasca Sukan Asia, hari ini. 

Menurut Syed Saddiq, peraturan baharu itu akan dilaksanakan selepas pihaknya mendapat laporan penuh daripada 'post mortem' selepas Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018. 

Semalam, Syed Saddiq mahu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi penjelasan selepas gagal membawa pulang pingat dari Jakarta-Palembang tatkala badan induk itu mendapat tajaan dan peruntukan terbesar daripada kerajaan serta syarikat korporat.

Berita Harian X