Khamis, 6 September 2018 | 9:36pm
MUKHRIZ (tengah) beramah mesra dengan atlet SUKMA Kedah pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Kedah ke SUKMA Negeri Perak di Wisma Darul Aman hari ini. - Bernama
MUKHRIZ (tengah) beramah mesra dengan atlet SUKMA Kedah pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Kedah ke SUKMA Negeri Perak di Wisma Darul Aman hari ini. - Bernama

Kedah sasar 25 emas SUKMA

ALOR SETAR: Kedah menyasarkan kutipan 25 pingat emas daripada keseluruhan 28 acara dipertandingkan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-19 di Perak yang bermula minggu hadapan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya yakin kutipan emas itu mampu disumbangkan antaranya melalui acara skuasy, pelayaran, badminton, basikal, bola sepak dan muay thai.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya yakin pembabitan atlet Kedah yang cemerlang pada peringkat Asia dan antarabangsa khususnya melalui acara skuasy dan pelayaran dalam SUKMA kali ini berupaya menyumbang pungutan pingat emas kali ini.

"Selain acara skuasy dan pelayaran, kita berharap kutipan pingat emas dapat diperoleh antaranya melalui badminton, basikal, muay thai, olahraga, pencak silat, angkat berat dan bola sepak.

Saya harap mereka akan membawa pulang emas sebanyak mungkin dan nampaknya semangat begitu tinggi dalam kalangan atlet namun yang penting soal disiplin diharap dapat dijaga sebaik mungkin," katanya selepas menyempurnakan upacara penyerahan bendera kontinjen SUKMA negeri, di sini.

Terdahulu, Mukhriz menyempurnakan majlis perhimpunan bulanan penjawat awam kerajaan negeri di Wisma Darul Aman, dekat sini.

Kedah menghantar 469 atlet dan 197 pegawai yang akan mengambil bahagian dalam 28 acara di sukan dwitahunan kali ini.

Antara atlet yang bakal beraksi pada SUKMA kali ini ialah pemenang pingat emas di Sukan Asia Jakarta Palembang 2018 dalam acara pelayaran, Muhammad Fauzi Kaman Shah.

Selain itu, ratu skuasy Kedah S Sivasangari yang memenangi pingat perak dan gangsa di Sukan Asia lalu dan atlet skuasy Aifa Azman turut bersama dalam kontinjen Kedah kali ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X