Rabu, 12 September 2018 | 2:16pm
GEORGIA Hall.

Georgia optimis menjelang Kejuaraan Evian

EVIAN, Perancis: Georgia Hall menegaskan dia berasa lebih yakin menjelang Kejuaraan Evian minggu ini selepas meraih kejuaraan utama terbesar dalam kariernya pada Terbuka British bulan lalu.

Pemain England itu berjaya menduduki 10 kelompok terbaik pada penampilan sulungnya di kejohanan utama terakhir di Perancis 12 bulan lalu dan kali ini dia tampil sebagai pemain pilihan.

Georgia yang berusia 22 tahun, mula mencuri perhatian selepas menumpaskan pemain Thailand, Pornanong Phatlum dengan kelebihan dua pukulan di Royal Lytham & St Annes dan mengharapkan kejayaan terus memihaknya.

“Ia memang sesuatu yang hebat apabila saya datang ke sini sebagai pemenang kejuaraan utama. Ia memberikan lebih keyakinan buat saya. Jika saya berada di kedudukan sama sekali lagi saya tidak rasa gementar. Ini tahun kedua saya tapi saya sudah tertarik dengan kejohanan ini dan berjanji akan bermain sebaik mungkin.

“Saya berasa amat sibuk sejak mencatat kemenangan di Lytham. Banyak sesi temu bual dan perhatian diberikan kepada saya tapi saya masih sempat untuk berehat di rumah dan meraikannya bersama keluarga.

“Jadi amat penting buat saya untuk turun beraksi minggu ini. Saya sudah berehat selama lima hari, jadi saya rasa bertenaga,” kata Georgia.

Dia hampir meraih kejuaraan pertama di Amerika Syarikat selepas menduduki tangga kedua pada Klasik Portland dan kini berada di ranking kelapan dunia. - AFP

Berita Harian X