Rabu, 12 September 2018 | 8:54pm
GIMNAS Wilayah Persekutuan, dari kanan; Iman Alisha Fakhri Yassin, Jingle Shak Qi, Ng Joe Ee dan Rayna Hoh Khai Ling berjaya raih pingat emas dalam acara gimrama berpasukan pada SUKMA Perak 2018 di Stadium Indera Mulia, Ipoh. - Foto MUHAIZAN YAHYA

Dominasi Wilayah Persekutuan sukar digugat

IPOH: Skuad gimrama Wilayah Persekutuan membuktikan mereka sukar dicabar apabila berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenangi dalam acara berpasukan di Sukan Malaysia (SUKMA) buat kali keempat berturut-turut, hari ini.

Mempertaruhkan empat gimnas yang diketuai Rayna Hoh, Ng Joe Ee, Jingle Shak Qi dan Iman Alisha Fakhri Yassin, aksi bertenaga mereka berjaya menambat hati barisan pengadil sekali gus menguasai acara itu sejak SUKMA Pahang 2012.

Barisan itu mengumpul jumlah keseluruhan 136.250 mata untuk meraih emas menewaskan gimnas Selangor (110.600) manakala Perak ketiga (108.500).

Dalam aksi berpasukan membabitkan empat aparatus, gelung, bola, riben dan belantan itu, Rayna muncul atlet paling menyerlah apabila mengumpul mata tertinggi dalam kesemua aparatus yang dipertandingkan. 

Atlet yang akan mewakili negara ke Kejohanan Olimpik Remaja Dunia di Argentina bulan depan itu turut menjadi calon pilihan untuk mendominasi keempat-empat aparatus apabila turun dalam acara individu esok. 

Namun, dia yang memenangi pingat gangsa Kejohanan Asia di Kuala Lumpur itu berkata, dia tidak meletakkan sebarang sasaran sebaliknya hanya mahu fokus memberi yang terbaik. 

"Saya tidak mahu memikirkan pingat. Apa yang penting adalah fokus. Memperbaiki kesilapan yang dilakukan hari ini agar tidak berulang lagi esok, itu yang penting. 

"Tambahan pula rakan saya yang lain juga beraksi dengan baik, jadi mereka turut berpeluang untuk meraih emas," katanya. 

Acara gimrama membuka tirainya hari ini dengan menawarkan satu emas dan esok empat lagi emas akan dipertandingkan dalam acara individu. 

 

Berita Harian X