Khamis, 13 September 2018 | 8:43pm
GIMNAS Wilayah Persekutuan, Rayna Hoh beraksi dalam acara gelung pada SUKMA Perak 2018 di Stadium Indera Mulia, Ipoh. - Foto Effendy Rashid
GIMNAS Wilayah Persekutuan, Rayna Hoh menyapu bersih kesemua empat pingat emas yang dipertandingkan dalam acara gimrama individu di Sukan Malaysia (SUKMA), hari ini. - Foto Effendy Rashid

Rayna bolot semua emas

IPOH: Gimnas Wilayah Persekutuan, Rayna Hoh membuktikan dia berada dalam kelas tersendiri apabila menyapu bersih kesemua empat pingat emas yang dipertandingkan dalam acara gimrama individu di Sukan Malaysia (SUKMA), hari ini.

Selepas meraih emas dalam acara berpasukan semalam, Rayna diiringi lagu rancak mempamerkan aksi memukau untuk memikat hati juri sekali gus menguasai keempat-empat aparatus - gelung, bola, belantan dan riben.

Malah atlet berusia 15 tahun itu meninggalkan lawan dari segi pungutan mata hingga sukar digugat biarpun biarpun dikenakan penalti ketika beraksi dalam acara gelung.

Rayna yang akan beraksi di Sukan Olimpik Belia (YOG) di Buenos Aires bulan depan bagaimanapun menegaskan dia tidak meletakkan sasaran untuk menyapu bersih kesemua emas.

"Saya memang tidak menjangka akan menang semua. Apa yang saya harap adalah persembahan yang lebih baik daripada aksi sebelum ini dengan rutin yang sempurna.

"Jurulatih juga sentiasa berpesan kepada saya supaya jangan fikir pasal pingat. Sentiasa fikir untuk mempamerkan rutin yang lebih baik dan pastikan tiada kesilapan dilakukan dan itu adalah lebih penting," katanya yang meraih dua emas ketika SUKMA Sarawak dua tahun lalu.

Rayna menutup tirai aksinya di SUKMA kali ini dengan kejayaan yang cukup membanggakan dan berharap gimnas  junior yang akan mengambil alih tempatnya akan meneruskan penguasaan dalam acara itu dua tahun lagi di Johor.

Rayna menjadi wakil tunggal negara ke Sukan Olimpik Belia selepas meraih slot automatik menyaksikan tujuh gimnas dari Asia terpilih.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik gimnas Malaysia dalam YOG ialah ketika edisi pertama di Singapura pada 2010 apabila Lee Wan Nin menamatkan saingan di tempat keempat acara individu keseluruhan.

Keputusan 

Aparatus Bola 

Emas: Rayna Hoh (Wilayah Persekutuan)  15.3000 mata

Perak: Ng Joe Ee (Wilayah Persekutuan)  13.4500

Gangsa: Lai Yun Jo (Selangor) 13.3000

Aparatus Belantan 

Emas: Rayna Hoh (Wilayah Persekutuan) 13.6000

Perak: Iman Alisha Fakhri Yassin (Wilayah Persekutuan) 12.9000

Gangsa: Lai Yun Jo (Selangor) 11.2000

Aparatus Gelung 

Emas: Rayna Hoh (Wilayah Persekutuan) 15.3000

Perak: Iris Hoo (Perak) 11.4500

Gangsa: Iman Alisha Fakhri Yassin (Wilayah Persekutuan) 11.3500

Aparatus Riben 

Emas: Rayna Hoh (Wilayah Persekutuan) 12.6000

Perak: Jingle Shak Qi (Wilayah Persekutuan) 11.0000

Gangsa: Lok Mei Hui (Perak) 10.3500 

Berita Harian X