Rabu, 19 September 2018 | 9:40pm
(DARI kiri) Chelsea Cassiopea Evali Bopulas, Karmentina Nadia Quadra, Ikma Syaffiera Duris dan Nur Aishah Rofina Aling menunjukkan pingat perak yang dimenangi dalam acara 4x100 meter (m) pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Stadium Perak, hari ini. - Foto BERNAMA

Keayuan Karmentina, Chelsea pikat penonton

IPOH: Biarpun tewas, kuartet wanita Sabah tetap nombor satu dalam kalangan penonton yang hadir menyaksikan perlumbaan akhir 4x100 meter (m) pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Stadium Perak, hari ini.

Apa tidaknya, kehadiran model kelahiran Sabah, Karmentina Nadia Quadra berjaya menawan penonton biarpun berlari dalam keadaan panas.

Diakui penonton yang hadir, Karmentina yang berdarah campuran dengan bapanya, Oswald Nathy Quadra  berasal dari Filipina dan ibunya, Kalistah Jetirin Sitaun dari Sabah memberi aura positif dan mewarnai kuartet itu.

Menamatkan saingan dengan pingat perak, kuartet itu yang turut dibarisi Ikma Syaffiera Duris dan Nur Aishah Rofina Aling tetap mengukir senyuman kepuasan.

Menurut Karmentina, olahraga menjadi keutamaannya biarpun baru mula berjinak-jinak di dalam bidang model sebulan lalu.

Gemar menghabiskan masa dengan menari dan menyanyi, Karmentina berkata dia mahu meneruskan kariernya dalam sukan dan bercita-cita untuk menjadi jurulatih satu hari nanti.

"Saya mahu membanggakan keluarga. Siapa pun mahu berjaya dalam kariernya," katanya yang sebelum ini turut pernah beraksi di SUKMA Sarawak 2016 dan meraih gangsa dalam acara 100m lompat berpagar dan perak 400m lompat berpagar.

Bukan hanya Karmentina menjadi tumpuan, keayuan rakannya, Chelsea Cassiopea Evali Bopulas turut menjadi bualan ramai.

Biarpun gagal meraih emas, Chelsea jelas tidak kecewa.

"Tak mengapa, perkara sudah berlalu. Kami gembira juga dengan pingat perak. Lagipun, kami sudah memberikan yang terbaik," kata Chelsea yang sebelum ini meraih perak dalam acara 100m.

Acara itu dimenangi kuartet Terengganu yang dibarisi Azreen Nabila Alias, Nurul Alyssa Azman, Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka dan Siti Norzullaika dengan catatan masa 47.01s dan kuartet Sabah hanya ketinggalan 0.5s.

Kuartet Kedah yang membariskan Fatin Ilyana Mat Nayan, Nor Ashikin Md Isa, Rabiatul Yusra Adenan dan Teoh Kim Ling memenangi gangsa selepas mencatat masa 48.74s.

41 dibaca
Berita Harian X