Sabtu, 22 September 2018 | 6:41pm
SETIAUSAHA Agung MAKAF, Vincent Chen. - Foto Saifullizan Tamadi

MAKAF adakan AGM lebih awal

 

KUALA LUMPUR: Selepas dikritik hebat akhirnya Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) mengambil sikap profesional untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu pada 28 Oktober depan, dua bulan lebih awal daripada tarikh sebenar.

Menurut Setiausaha Agung MAKAF, Vincent Chen, tarikh itu dipercepatkan atas beberapa sebab dengan ia diputuskan semalam pada mesyuarat ‘post mortem’ Sukan Asia 2018.

Antara sebab utama ialah bagi memastikan kelancaran penyediaan perancangan masa depan skuad karate negara yang perlu diserahkan selewat-lewatnya pada November depan.

"Kami perlu bersikap profesional dan tidak mahu ia terus dijadikan isu oleh sesetengah pihak media.

"Jadi atas sebab itu kami akan cepatkan AGM untuk dapatkan mandat daripada ahli bagi pelantikan barisan kepimpinan baharu.

"Harus diingat MAKAF perlu menyerahkan perancangan skuad negara selewat-lewatnya pada November ini, jadi kalau kami ikut tarikh asal bermakna ia akan merencatkan  perancangan itu sekiranya kepimpinan bertukar tangan.

"Lagipun pada April tahun depan MAKAF juga diberi hak menganjurkan Kejuaraan Remaja Asia," katanya ketika dihubungi.

MAKAF bagai ditimpa malang sebaik berakhir Sukan Asia 2018, bukan saja gagal mencapai sasaran satu pingat emas, malah badan induk itu turut dipalit isu disiplin membabitkan jaguh karate, Syakilla Salni Jefry Krisnan.

Terbaharu, timbul spekulasi bahawa badan induk itu memutuskan segala perbelanjaan Syakilla ke kejohanan kelayakan ke Olimpik 2020 di bawah tanggungan sendiri.

Mengulas mengenai isu terbabit, Vincent menafikan sekeras-kerasnya dakwaan terbabit.

"Ia berita yang tidak benar, semalam apabila kami bertemu Syakilla pada mesyuarat port-mortem, dia mengatakan perkara itu tidak benar.

"Ada media tertentu yang sengaja mengapi-apikan hubungan atlet dan persatuan, malah kami sendiri pun tidak tahu menahu mengenai perkara itu."

Berita Harian X