Ahad, 23 September 2018 | 12:04am

Farah Ayuni sah ke England

 

KUALA LUMPUR: Penjaga gol hoki wanita nombor satu negara, Farah Ayuni Yahya akhirnya sah menyertai pasukan East Grinstead HC, di liga utama England selepas mendapat pelepasan daripada majikannya, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagaimanapun, penjaga gol berusia 29 tahun itu terlepas aksi sulung hari ini yang berkesudahan dengan pasukannya tumbang 2-1 di tangan Buckingham selepas hanya akan bertolak ke England, esok pagi.

Menurut ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah, kelewatan itu berpunca daripada tuntutan dokumen yang perlu dipenuhinya.

"Saya bersyukur apabila Farah akhirnya dapat ke England bagi mengembangkan kariernya ke peringkat tertinggi. Ia satu sejarah baharu buat sukan hoki negara.

"Memang pada awalnya dia agak berbelah bahagi kerana bimbang perlu keseorangan ke sana, tetapi saya berjaya meyakinkannya.

"Dan kini terpulang kepadanya untuk tunjuk kebolehan sebenar kepada mereka. Bagi saya dia mempunyai bakat yang luar biasa cuma apa yang menghalangnya untuk pergi lebih jauh adalah kerana skuad negara belum cukup kuat untuk bertanding hingga ke Sukan Olimpik," katanya.

Bagi Farah pula, hanya perasaan takut saja bermain di fikirannya ketika ini terutamanya apabila mengenangkan jangkaan tinggi East Grinstead ke atasnya.

"Saya sebenarnya takut apabila memikirkan soal prestasi sebabnya East Grinstead pastinya meletakkan sasaran tinggi selepas berjaya meraih tempat keempat tahun lalu.

"Malah, bagi memastikan saya berada dalam keadaan terbaik selepas berakhir Sukan Asia saya tetap meneruskan latihan sehingga minggu ini," kata bekas penjaga gol terbaik Asia 2016 itu.

Jika semuanya berjalan lancar, Farah berpeluang diturunkan pada aksi kedua liga berdepan pencabar utama Beeston, Sabtu depan.

Sementara itu, seorang lagi pemain negara Hanis Nadiah Onn mencipta sensasi di bumi Jerman apabila meledak jaringan tunggal ketika membantu pendatang baharu, Wespen Wehlendorfer mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Kelab Hoki Breman, sebentar tadi sekali gus merakam kemenangan sulung mereka pada musim ini.

Hanis yang yang membuat kemunculan ketiga di sana bersama Wan Norfaiezah Saiuti bijak menguis masuk bola percubaan susulan rakan sepasukannya hasil gerakan yang dimulakan menerusi pukulan sudut penalti.

Berita Harian X