Selasa, 25 September 2018 | 7:08pm
MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman - Foto AZHAR RAMLI

Karate-Do Pahang mahu campur tangan menteri

KUALA LUMPUR: Persatuan Karate-Do Pahang (KARAPAH) mahukan campur tangan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membantu kes penggantungan sementara badan sukan itu bagi membolehkan mereka menyertai Mesyuarat Agung Dwi-tahunan (BGM) Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), bulan hadapan.

Presien KARAPAH, Kevin Ramesh berkata, isu ini sudah berpanjangan sejak KARAPAH menerima surat penggantungan pada Jun tahun lalu dan keputusan siasatan Jawatankuasa Disiplin MAKAF pada Jumaat lalu yang dipengerusikan SAC Sulaiman Salleh telah membuktikan badan sukan Pahang itu tidak bersalah.

"Dalam mesyuarat terbabit, Jawatankuasa Disiplin telah membentangkan isu KARAPAH dan mengesyorkan supaya penggantungan KARAPAH adalah tidak sah.

"Initidak adil bagi pihak kami, di mana selagi penggantungan kami tidak ditarik balik oleh MAKAF, maka KARAPAH tidak boleh mengundi dalam pemilihan AJK MAKAF pada 28 Oktober nanti," katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Kevin menjelaskan keputusan yang diperoleh menerusi siasatan Jawatankuasa Disiplin itu bagaimanapun tidak diguna pakai dengan alasan mesyuarat EXCO MAKAF hanya akan diadakan selepas BGM MAKAF nanti.  

Katanya, isu ini sudah dimaklumkan kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan namun pembabitan Menteri Belia dan Sukan diperlukan supaya isu ini dapat diselesaikan dengan segera.

"Penggantungan sementara ini sangat pelik kerana ia mempunyai agenda tersembunyi. Ia penting supaya kami dapat menyertai BGM nanti kerana kami mahukan perubahan dalam MAKAF dalam pemilihan itu nanti," katanya.

Isu membabitkan penggantungan KARAPAH bermula pada 22 Mei 2017 apabila badan itu menghantar aduan kepada Presiden MAKAF, Tan Sri Ali Rustam mengenai rasa tidak puas hati dan bantahan terhadap pembabitan secara langsung Setiausaha MAKAF, Vincent Chen dalam hal ehwal KARAPAH.

KARAPAH bagaimanapun dikejutkan apabila menerima surat penggantungan sementara pada 1 Jun 2017 yang ditandatangani Timbalan Presiden 1 MAKAF, Datuk Seri Mohd Noor Nordin Abdullah apabila badan itu digantung dengan alasan menghantar surat aduan kepada Presiden MAKAF, menerima surat aduan daripada pihak berkepentingan daripada KARAPAH dan juga kegagalan KARAPAH mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) 2016.

Berita Harian X