Sabtu, 29 September 2018 | 5:40pm
SETIAUSAHA Agung Persekutuan Karate Malaysia, Vincent Chen. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Kami bukan gila kuasa - MAKAF

 

KUALA LUMPUR: Walaupun kurang senang dengan sikap Persatuan Karate-Do Pahang (KARAPAH) memperbesarkan isu diketepikan daripada Mesyuarat Agung Dwi-tahunan (BGM) Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) bulan depan, setiausaha agung badan induk itu, Vincent Chen enggan terus memanjangkan isu itu.

Sebaliknya, Vincent berkata MAKAF ada alasan kukuh dan kekal dengan pendirian untuk mengenakan hukuman penggantungan sementara ke atas KARAPAH sehingga proses siasatan dijalankan selesai.

Beliau membuat kenyataan itu sebagai menjawab dakwaan Presiden KARAPAH, Kevin Ramesh yang meminta campur tangan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi membolehkan mereka menyertai BGM MAKAF selepas didapati tidak bersalah oleh Jawatankuasa Disiplin.

"Selagi belum mendapat keputusan daripada hasil siasatan menyeluruh kami tidak boleh benarkan mereka menyertai BGM.

"Sekarang ini masih di peringkat awal siasatan. Belum sampai sesi keterangan... mereka (KARAPAH) sudah lompat. Mereka harus tahu yang kita mempunyai prosedur.

"Malah, Pesuruhjaya Sukan sendiri sedia maklum mengenai isu ini sejak hukuman penggantungan dikenakan ke atas mereka pada Jun tahun lalu.

"Cuma, mereka sengaja cipta isu ini disebabkan dengar ada pemilihan jawatankuasa baru MAKAF," kata Vincent ketika dihubungi hari ini.

Isu membabitkan penggantungan KARAPAH bermula pada 22 Mei 2017 apabila badan itu menghantar aduan kepada Presiden MAKAF, Tan Sri Ali Rustam mengenai rasa tidak puas hati dan bantahan terhadap pembabitan secara langsung Setiausaha MAKAF, Vincent Chen dalam hal ehwal KARAPAH.

KARAPAH bagaimanapun dikejutkan apabila menerima surat penggantungan sementara pada 1 Jun 2017 ditandatangani Timbalan Presiden 1 MAKAF, Datuk Seri Mohd Noor Nordin Abdullah.

Badan itu digantung dengan alasan menghantar surat aduan kepada Presiden MAKAF, menerima surat aduan daripada pihak berkepentingan daripada KARAPAH dan juga kegagalan KARAPAH mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) 2016.

Malah, Vincent menyatakan MAKAF mungkin tidak akan mempercepatkan BGM jika benar mereka gila kuasa.

"Kalau kita niat jahat dan gila kuasa, boleh saja tunda pemilihan ini lagi setahun daripada tarikh asal yang sepatutnya berlangsung pada Mac tahun depan.

"Sebab tahun depan ada beberapa kejohanan penting termasuk menjadi tuan rumah Kejuaraan Karate Remaja Asia pada April depan, tetapi kita lebih fikirkan mengenai masa depan sukan ini sebab itu kita awalkan BGM supaya senang untuk jawatankuasa baharu tentukan perancangan sejak dari awal," katanya.

Berita Harian X