Ahad, 7 Oktober 2018 | 2:28pm
PENJAGA gol skuad hoki negara, Farah Ayuni Yahya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Farah makin serasi

KUALA LUMPUR: Penjaga gol skuad hoki negara Farah Ayuni Yahya mempamer aksi bertenaga selepas membantu kelabnya,  East Grinstead HC mencatat keputusan seri 1-1 ketika bertemu juara Liga Premier England lima kali berturut-turut, Surbiton semalam.

Turun pada aksi penuh keduanya selepas berhijrah ke kelab yang beraksi  di liga utama England itu, Farah nyata pantas menyesuaikan dirinya dan tidak gentar bertemu lawan yang mempunyai reputasi hebat.

Grinstead hampir melakar kemenangan selepas Georgie Blackwood menjaringkan gol padang minit ke-52, namun gawang yang dijaga rapi oleh Farah akhirnya bolos juga menerusi gol penyamaan Giselle Ansley hasil pukulan sudut penalti minit ke-62.

"Kelab terus beri kepercayaan kepada saya, jadi saya perlu berikan yang terbaik.

"Tapi kami hanya mampu seri dengan Surbiton. Mereka adalah juara liga musim lalu dan diperkuatkan dengan beberapa pemain skuad kebangsaan England.

"Memang ada rasa kecewa sebab bolos juga pada hujung perlawanan. Kami beraksi dalam cuaca hujan dan amat sejuk," katanya.

Ketika debut pertamanya bersama pasukan itu minggu lalu, Farah berjaya membantu Grinstead melakar kemenangan 2-1 ketika bertemu Beeston.

"Saya semakin serasi di sini dan rakan sepasukan pun ok. Banyak perkara baru yang saya pelajari dan rasa bersyukur kerana dapat beraksi di liga utama.

"Bagi saya semua pasukan yang beraksi di liga utama mempunyai kualiti permainan yang tinggi," katanya.

Grinstead akan bertemu Slough pada perlawanan seterusnya Sabtu depan.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X