Isnin, 15 Oktober 2018 | 5:32pm
PENJAGA gol skuad hoki negara, Farah Ayuni Yahya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Farah ditawar lanjut kontrak

KUALA LUMPUR: Meskipun baru mengharungi tiga perlawanan Liga Premier England, penjaga gol skuad hoki negara, Farah Ayuni Yahya sudah berjaya memikat pengurusan kelab East Grinstead HC apabila pengurusan kelab menawarkannya lanjutan kontrak untuk beraksi di pusingan kedua liga yang bersambung Februari tahun depan.

Menurut Farah, kontraknya bersama kelab itu akan berakhir penghujung November ini, iaitu selepas berakhirnya pusingan pertama liga.

"Mereka juga ada menawarkan saya untuk bermain di saingan liga hoki dalam dewan ketika tempoh rehat liga. Tapi saya tak boleh beri komitmen kerana perlu pulang ke Malaysia untuk meneruskan sesi latihan bersama skuad kebangsaan," katanya.

Setakat ini Farah nyata tidak mengecewakan apabila turun pada aksi penuh dalam tiga perlawanan.

Sabtu lalu dia membantu pasukannya mencatat kemenangan 3-0 ke atas Slough HC sekali gus menyaksikan Grinstead kini menduduki tangga keempat Liga Premier.

"Saya memang berharap dapat beraksi dalam semua perlawanan sepanjang pusingan pertama liga.

"Mereka sudah meletakkan kepercayaan kepada saya jadi sudah tentu saya tidak mahu mensia-siakan peluang yang diberikan ini," katanya.

Berita Harian X