Sabtu, 20 Oktober 2018 | 6:12pm
AKSI pemain skuad hoki Malaysia ketika menentang Oman dalam saingan Trofi Juara-Juara Asia di Oman.
AKSI pemain skuad hoki Malaysia ketika menentang Oman dalam saingan Trofi Juara-Juara Asia di Oman.

Malaysia perit tewaskan Oman

KUALA LUMPUR: Oman memberikan Malaysia tentangan sengit sebelum gol lewat permainan memberikan skuad kendalian Roelant Oltmans mata penuh pada saingan hoki Trofi Juara Asia (ACT) di Muscat, semalam.

Ia bukanlah kemenangan meyakinkan kerana ketika Sukan Asia di Jakarta, Malaysia membelasah Oman 7-0 dan 7-1 pada Piala Asia 2017.

Malaysia bermain jauh lebih baik ketika menang 3-0 mengatasi Jepun pada perlawanan pembuka tirai ACT.

Selepas berjaya menyekat pemenang pingat perak Sukan Asia itu pada suku pertama, kesilapan pertahanan membolehkan Malaysia mendahului pada minit ke-22 menerusi Firhan Ashari.

Aksi hebat penjaga gol Oman, Fahad Al Noufali yang juga pemain terbaik perlawanan itu menafikan Malaysia selepas itu dan Oman menyamakan kedudukan menerusi pukulan penalti disempurnakan Rashad Al Fazari pada minit ke-34.

AKSI pemain skuad hoki Malaysia ketika menentang Oman dalam saingan Trofi Juara-Juara Asia di Oman.
AKSI pemain skuad hoki Malaysia ketika menentang Oman dalam saingan Trofi Juara-Juara Asia di Oman.

Bagaimanapun, Tengku Tajuddin menghukum Oman apabila memberikannya masa dan ruang di kawasan atas pada minit ke-46 dengan dia meledak buat Malaysia untuk sekali lagi mendahului.

Dan dua minit kemudian, Faizal Shaari menghasilkan gol kemenangan buat Malaysia.

Oltmans berkata ia bukanlah persembahan terbaik Malaysia tetapi dia gembira mereka berjaya mengutip mata penuh.

“Kami agak gopoh hari ini, tetapi lebih baik sekarang berbanding separuh akhir,” kata Oltmans.

“Penyerang kami tidak setajam diharapkan tetapi penjaga gol Oman juga banyak melakukan tindakan menyelamat yang bagus.”

Jurulatih Oman, Tahir Zaman memuji pemainnya kerana berjaya meningkatkan persembahan mereka ke tahap kompetitif selepas tewas 11-0 kepada India pada saingan pembukaan.

“Ia suntikan semangat buat hoki Oman untuk melihat mereka bermain sangat kompetitif berdepan Malaysia,” kata Zaman.

Dalam perlawanan lain, Pakistan menewaskan Korea Selatan 3-1.

Berita Harian X