Khamis, 25 Oktober 2018 | 7:11pm
AZIZULHASNI Awang - Foto EIZAIRI SHAMSUDIN

Azizulhasni optimis lebih mantap di Kanada

KUALA LUMPUR: Jaguh basikal negara, Azizulhasni Awang yakin mampu memperagakan kayuhan lebih  bertenaga apabila berentap pada trek Piala Dunia di Milton, Kanada hujung minggu ini.

Malah, Azizulhasni yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman terkejut dengan keupayaannya pada siri pertama kejohanan itu di Velodrom Nasional de Saint-Quentin-en-Yvelines, Paris minggu lalu biarpun baru memulakan latihan.

"Untuk acara keirin, saya masih mencari rentak dan selepas dua perlumbaan, saya yakin akan dapat rentak.

Misi utama saya ialah layak ke Kejohanan Asia 2019 di Jakarta (Januari) dan Kejohanan Dunia 2019 di Poland (Februari) sebab tawarkan banyak mata untuk kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Untuk perancangan jangka panjang sudah pasti untuk menang emas pertama di Sukan Olimpik Tokyo 2020. 

Jadi Piala Dunia ini adalah sebahagian daripada persiapan dan latihan. Menamatkan perlumbaan di tempat 13 (dalam acara keirin) adalah suatu yang boleh dibanggakan selepas baru kembali daripada berehat," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Dalam pada itu, Azizulhasni juga terkejut kerana mampu melakukan catatan bawah 10 saat dalam acara pecut di Paris walaupun tewas kepada pelumba New Zealand, Sam Webster pada pusingan pertama. 

"Catatan 9.946 saat saya buat itu memang amat cemerlang. Saya tidak jangka akan selaju itu buat masa sekarang. Kalau ikut perancangan saya meningkatkan prestasi secara berperingkat dan memuncak menjelang Kejohanan Dunia nanti,” katanya.

Berita Harian X