Sabtu, 27 Oktober 2018 | 5:41pm
KETUA jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah. - Arkib NSTP

Tiada masalah tapi kena bincang

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mengakui tidak mempunyai masalah untuk membenarkan kesemua lapan pemain negara yang beraksi bersama kelab di Eropah menyambung khidmat mereka dengan kelab masing-masing di pusingan kedua liga yang bersambung awal tahun depan.

Ini kerana tempoh itu tidak lagi bertembung dengan Siri Akhir Hoki Dunia - kempen kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang sudah diketahui berlangsung pada Jun di Ireland.

Bagaimanapun katanya, segala perkara perlu dibincangkan bersama Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) menerusi Pengarah Teknikal, Terry Walsh serta Presiden, Datuk Seri Subahan Kamal sebelum keputusan muktamad dilakukan.

"Jika sekiranya kami membenarkan kesemua pemain itu menyambung aksi bersama pasukan masing-masing, saya pula hanya mempunyai tempoh dua atau tiga minggu untuk mendapatkan khidmat mereka.

"Jadi saya mempunyai satu lagi cadangan, iaitu kesemua pemain berpangkalan di Belanda dan mungkin di situ kami boleh mengadakan beberapa perlawanan persahabatan.

"Saya menghargai maklum balas positif semua kelab yang mahu menyambung khidmat kelapan-lapan pemain itu.

"Tetapi saya rasa kami perlu berlatih sebagai sebuah pasukan dan sebab itu Belanda adalah pilihan saya.

"Apapun terpulang kepada pihak pengurusan MHC dalam membuat keputusan," katanya.

Lapan pemain yang beraksi di luar negara adalah Raja Sharina Raja Shabuddin, Surizan Awang Noh dan Nuraslinda di Glasgow, Scotland mewakili pasukan Uddingston, sementara Hanis Nadiah Onn dan Wan Norfaiezah Saiuti bersama Wespen Zehlendorfer yang bersaing dalam saingan utama Liga Jerman.

Nuraini Rashid dan Fatin Syafika Mahd Sukri pula beraksi untuk pasukan Butterfly Roma HCC di Liga Itali manakala penjaga gol terbaik Asia, Farah Ayuni Yahya bersama pasukan East Grinstead HC yang beraksi dalam Liga Premier England.

Kesemua pemain itu menerima reaksi positif daripada kelab masing-masing yang begitu berminat untuk menyambung khidmat mereka.

Paling mencuri tumpuan adalah Farah yang setakat ini cemerlang menjaga gawang Grinstead sehingga pihak pengurusan mahu menyambung khidmatnya tahun depan meskipun pusingan pertama liga belum berakhir.

Berita Harian X