Ahad, 28 Oktober 2018 | 7:47pm
FARAH Ayuni Yahya

Farah Ayuni sedia sambung khidmat di East Grinstead HC

KUALA LUMPUR: Penjaga gol skuad hoki wanita negara, Farah Ayuni Yahya mengakui berminat untuk menyambung khidmat bersama East Grinstead HC pada pusingan kedua Liga Premier England yang bersambung Februari depan.

Kontrak Farah sepatutnya berakhir hujung November ini, namun kelab itu sudah berminat untuk menyambung khidmatnya bagi menghadapi pusingan kedua liga Februari depan.

"Saya memang tak ada masalah jika diberi peluang untuk beraksi pada pusingan kedua liga tahun depan,” kata Farah.

"Lagipun saya memang perlukan banyak perlawanan yang kompetitif sebelum bermulanya Siri Akhir Hoki Dunia pada Jun."

Menurut Farah, sejak tiba di Grinstead bulan lalu, dia sudah mula meminati kelab itu kerana suasana yang cukup positif.

"Saingan liga di sini benar-benar kompetitif dan ia memang bagus untuk saya. Setiap perlawanan yang kami harungi tak boleh ambil ringan.

"Malah kelab juga menjaga kebajikan pemain. Rakan sepasukan serta jurulatih juga melayan saya dengan baik," katanya.

Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah menerusi laporan Sukan NSTP semalam berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk membenarkan kesemua lapan pemain termasuk Farah yang beraksi bersama kelab di Eropah menyambung khidmat mereka dengan kelab masing-masing di pusingan kedua liga yang bersambung awal tahun depan.

Menurut Dhaarma, tempoh itu tidak lagi bertembung dengan Siri Akhir Hoki Dunia, kempen kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang akan berlangsung pada Jun di Ireland.

Namun katanya, segala perkara perlu dibincangkan bersama Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), termasuk cadangannya untuk kesemua pemain berpangkalan di Belanda dalam persiapan ke Ireland.

Berita Harian X