Rabu, 31 Oktober 2018 | 7:34pm
SIEH Kok Chi - Foto Osman Adnan

Kok Chi tuntut penjelasan

KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi menyambut baik keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menstruktur semula Program Podium termasuk meletakkannya di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN), mulai tahun depan.

Bagaimanapun, Kok Chi berkata KBS dan MSN perlu memberikan penjelasan lebih terperinci kepada persatuan sukan mengenai proses penstrukturan semula program itu terutama kedudukan dan kriteria atlet yang layak berada dalam Tahap Satu hingga Empat bagi mengelak pembaziran dana, kekeliruan serta pertindihan.

"Dalam pengumuman dibuat Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) semalam, ramai yang kurang jelas mengenai kedudukan atlet dalam keempat-empat tahap berkenaan.

Sebagai contoh sukan terjun yang berada dalam Tahap Satu (Sukan Olimpik), Dua (Sukan Asia/Komanwel) dan Tiga (Sukan SEA).

"Adakah mereka dari kelompok atlet yang sama atau berlainan? Adakah atlet terjun yang tersenarai dalam Tahap Satu ke Olimpik Tokyo 2020 turut disenaraikan dalam Tahap Dua dan Tiga?

"Saya berpandangan jika seseorang atlet berkenaan sudah tersenarai dalam Tahap Satu, mereka tidak perlu berada dalam Tahap Dua dan Tiga lagi bagi mengelakkan kekeliruan dan pertindihan serta pembaziran," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Kok Chi turut berharap KBS dan MSN perlu memberikan penjelasan secara terperinci mengenai kriteria dan kelayakan yang melayakkan mereka berada dalam setiap tahap berkenaan.

"MSN juga perlu menjelaskan sama ada pembahagian mengikut tahap ini adalah merangkumi program pembangunan sukan dan atlet pelapis di peringkat akar umbi. Apa nasib sukan dan atlet yang tidak tersenarai dalam Tahap Satu, Dua atau Tiga.

"Perkara berkenaan penting kerana MSN adalah tunjang utama kepada program pembangunan hampir semua jenis sukan di peringkat akar umbi," katanya.

Mengulas lanjut, Kok Chi berkata KBS dan MSN juga sudah boleh menentukan siapa atlet yang layak berada di Tahap Satu untuk menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 berdasarkan prestasi mereka di Sukan Asia Jakarta Palembang dan Sukan Komanwel Gold Coast 2018, sebelum ini.

"Bagi saya kita sepatutnya sudah mempunyai senarai atlet berpotensi berada dalam Tahap Satu dan diberikan keutamaan untuk ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 berdasarkan prestasi mereka di Sukan Asia dan Sukan Komanwel lalu," katanya.

Semalam, Syed Saddiq mengesahkan Program Podium akan distruktur semula secara holistik yang akan dikendalikan sepenuhnya MSN.

Menurutnya, program baharu itu menggunakan pendekatan mengikut sistem tahap iaitu Tahap Satu untuk Sukan Olimpik, Tahap Dua (Sukan Asia/Komanwel) dan Tahap Tiga (Sukan SEA) sekali gus memudahkan dalam pemilihan atlet serta pelaksanaan program dapat dibuat secara berkesan.

Berita Harian X