Jumaat, 2 November 2018 | 2:54pm
MOHD Poad Md Kassim

Atlet pecut perlu ke luar negara

KUALA LUMPUR: Jurulatih sambilan, Azmi Ibrahim yakin pelari pecut negara Khairul Hafiz Jantan mampu mengorak langkah lebih jauh dalam acara itu sekiranya diberi cukup pendedahan sewajarnya.

Namun tanggungjawab itu juga terletak di bahu jurulatihnya Mohd Poad Md Kassim bagi memikirkan jalan terbaik buat barisan pelari di bawah bimbingannya untuk terus kekal konsisten. 

Apa yang perlu dilakukan adalah mempertimbangkan Poad untuk mendalami ilmu di luar negara bersama barisan pelari pecut Khairul Hafiz, Haiqal Hanafi, Mohamad Zulfiqar Ismail, Badrul Hisyam Abdul Manap dan beberapa lagi atlet berpotensi untuk diketengahkan.

 

Bekas pelari yang pernah menggegarkan arena pecut negara pada era 90-an itu menyokong penuh pandangan bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Mohamad untuk menghantar atlet dan jurulatih pecut ke luar negara seperti Amerika Syarikat.

Ini kerana bagi Azmi, Malaysia mempunyai ramai pelari berbakat namun sukar untuk kekal konsisten kerana kebanyakan jurulatih tempatan tidak mempunyai ilmu untuk mengekalkan konsistensi seseorang atlet.

“Itulah ilmu yang penting. Bagaimana untuk konsisten berlari bawah 10.1 atau 10.2 saat. Saya juga masih mencari cara dan teknik terbaik bagaimana untuk menjadikan atlet di bawah bimbingan saya konsisten berlari.

 

“Jadi MSN (Majlis Sukan Negara) atau KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia) perlu menghantar jurulatih berbakat seperti Poad itu mendalami ilmu di luar negara.

 

“Beliau perlu belajar dengan yang pakar dan profesional tapi ilmu itu tiada di sini. Hantarlah atlet kita ini keluar kerana saya sendiri juga pernah ke luar negara,” katanya.

 

Katanya, MSN dan KOM tidak perlu berlengah dan perlu segera mengambil langkah itu agar tidak rugi di kemudian hari.

 

Azmi antara pelari yang cukup terkenal pada era 90-an bersaing merebut gelaran pelari terpantas negara bersama Watson Nyambek.

 

Kehadiran Azmi dan Watson memberi impak luar biasa dalam arena olahraga negara ketika itu.

22 dibaca
Berita Harian X