Jumaat, 2 November 2018 | 7:20pm

Tonik terbaik hadapi Tokyo 2020

KUALA LUMPUR: Peruntukan besar yang hanya terarah kepada persediaan atlet ke Sukan Olimpik 2020 dalam pembentangan Belanjawan 2019, hari ini membuktikan komitmen kerajaan untuk mengakhiri kemarau pingat emas pertama negara pada temasya berprestij itu.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, walaupun hanya RM100 juta, peruntukan itu memadai memandangkan ia lebih dikhususkan kepada sukan yang berupaya memenangi emas pertama negara.

"Bagi MOM kita mengalu-alukan tindakan positif ini memandangkan RM100 juta itu lebih khusus kepada misi mendapat emas pertama di Sukan Olimpik 2020.

"Kita yakin bahawa dengan adanya (peruntukan itu) akan membolehkan kita melakukan perancangan dengan lebih tersusun.

"Ia selari dengan pengumuman terbaru Kementerian Belia dan Sukan untuk atlet Program Podium yang berpotensi memenangi pingat emas di Sukan Olimpik diletakkan pada Tahap 1 dari segi pembahagian sukan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada pembentangan Belanjawan 2019 mengumumkan peruntukan RM100 juta sebagai persediaan atlet ke Sukan Olimpik 2020 dengan harapan mampu membawa pulang pingat emas pertama negara.

Selain itu, RM10 juta diperuntukkan oleh kerajaan buat Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) untuk membangunkan sukan elektronik (E-Sports) yang mendapat tempat dalam kalangan generasi muda hari ini.

Bagaimanapun, Norza yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) percaya pihak swasta juga boleh memainkan peranan penting dalam menggalas misi Olimpik.

"Keikhlasan yang ditunjukkan kerajaan ini harus disambut oleh pihak swasta untuk memberi sumbangan yang sama. Kerajaan saja tidak mencukupi, pihak swasta pun perlu memainkan peranan.”

Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menyambut baik pengumuman berkenaan yang dianggapnya sebagai pengiktirafan terhadap perjuangan atlet negara.

"Dengan peruntukan itu akan merangsangkan lagi semangat kami di KBS, MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) meneruskan tanggungjawab membantu badan induk sukan dan atlet negara ke Sukan Olimpik 2020 dan Paralimpik 2020.

"Peruntukan terbabit juga merangkumi program latihan ke arah melangkaui tahun 2020 yang membabitkan persediaan ke arah Sukan Asia serta Para Asia dan Komanwel 2022.

"Pihak MSN juga akan mendapatkan penerangan lebih terperinci daripada Kementerian Kewangan mengenai perincian peruntukan berkenaan selari dengan penstrukturan semula program latihan atlet yang dikendalikan bersama oleh MSN dan ISN ketika ini,” kata Shapawi.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X