Sabtu, 3 November 2018 | 5:22pm

Jangan pinggirkan sukan lain

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) disaran supaya tidak meminggirkan mana-mana atlet walaupun peruntukan bajet 2019 lebih menumpukan kepada usaha merealisasikan impian emas pertama negara di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam pembentangan Bajet 2019, semalam mengumumkan peruntukan RM100 juta akan disalurkan sebagai persediaan atlet ke temasya di Tokyo.

Ia secara tidak langsung menggambarkan tiga sukan yang berada dalam Tier 1 Program Podium - badminton, berbasikal serta terjun - bakal memperoleh faedah terbesar berbanding beberapa sukan lain.

Justeru, jeneral tengah hoki negara, Fitri Saari yang baharu sahaja mengenggam Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Sukan berharap kedua-dua badan berkenaan dapat memperincikan bajet itu dengan sebaik mungkin.

"Macam hoki kami masih berpeluang untuk layak ke Olimpik menerusi pintu kedua, jadi akan mencuba sebaik mungkin dengan dana diperuntukkan itu.

"Tapi saya berharap sukan lain jangan dipinggirkan sebab bukan semua mempunyai peluang melalui proses kelayakan ke Sukan Olimpik.

"Malah, terdapat beberapa sukan seperti boeling dan skuasy yang tidak dipertandingkan di temasya berkenaan, namun turut berbakti kepada negara," katanya.

Pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, Malaysia menghantar 32 atlet membabitkan 10 sukan – memanah, olahraga, badminton, berbasikal, terjun, golf, pelayaran, menembak, renang dan angkat berat.

Namun, hanya badminton, terjun dan berbasikal trek yang berjaya membutirkan pingat sekali gus menyaksikan sandaran terus diletakkan di atas bahu ketiga-tiga sukan terbabit.

Pada masa sama, Fitri, 26, turut berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana membuktikan kesungguhan dalam menyiapkan atlet untuk ke Sukan Olimpik 2020.

"Ia sememangnya membakar semangat kami untuk mencari tiket ke Sukan Olimpik, jadi pada pandangan saya atlet yang berada dalam program ke Olimpik seharusnya memanfaatkan dana itu sebaik mungkin," katanya.

Difahamkan, peruntukan RM100 juta itu akan dipecahkan mengikut senarai Tier yang sudah ditetapkan selari dengan penstrukturan semula program latihan atlet yang dikendalikan bersama oleh MSN dan ISN ketika ini. 

Fokus Sukan mengikut Tier

Tier 1:

Sukan Olimpik 2020 - Badminton, Terjun dan Basikal

Tier 2:

Sukan Asia 2022 - Boling, Skuasy, Sepak Takraw, Basikal, Pelayaran, Equestarian, Terjun, Hoki, Taekwondo, Karate dan Memanah

Sukan Komanwel 2022 - Terjun, Angkat Berat, Badminton, Gimrama, Boling Padang, Skuasy dan Ping Pong

Tier 3:

Sukan SEA Manila 2019 - Renang, Terjun, Badminton, Basikal, Bola Keranjang, Gimnastik, Gimrama, Karate, Memanah, Menembak, Muay Thai, Olahraga, Pelayaran, Sepak Takraw, Skuasy, Taekwondo, Bowling, Tinju and Wushu

Tier 4

Mana-mana sukan yang tidak dipertandingkan di temasya sukan utama, tetapi mewakili negara ke Kejohanan Dunia

Berita Harian X