Sabtu, 3 November 2018 | 5:43pm
SYED Saddiq bersama Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali (kanan) bermesra dengan pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin ketika melawat pit Monster Yamaha Tech3 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir

Saddiq janji manfaat peruntukan RM 100 juta

SEPANG: Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan kementeriannya akan memanfaatkan sebaik mungkin peruntukan RM100 juta dengan pelaksanaan Program Podium yang lebih mantap dan cekap di samping beberapa inisiatif lain.

Saddiq ternyata gembira dengan peruntukan besar itu yang akan disalurkan kerajaan dalam menyediakan atlet ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan RM10 juta untuk membangunkan sukan eSports.

"Ia (bajet) adalah satu bentuk rangsangan dan pengiktirafan (buat atlet), bukan saja buat atlet normal tapi juga kepada atlet Paralimpik yang sudah banyak menyumbangkan pingat kepada negara dalam usaha kita merealisasikan emas pertama di Olimpik," katanya pada sidang media di Litar Antarabangsa Sepang hari ini.

"Baru-baru ini kami sudah melakukan pengstrukturan semula ke atas Program Podium untuk memastikan ia lebih mantap dan fokus. Program itu kini berorientasikan prestasi yang mana keistimewaan setiap atlet bergantung kepada tahap kemampuannya.

"Namun, ia mengguna pakai sistem fleksibel dengan tahap atlet boleh bertukar dari masa ke semasa berdasarkan prestasi semasa."

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Program Podium kini terbahagi kepada empat tahap.

Tahap 1 membabitkan atlet yang berpotensi memenangi emas di Sukan Olimpik, Tahap 2 untuk atlet yang berpotensi meraih emas di Sukan Asia dan Sukan Komanwel, Tahap 3 pula buat atlet yang berpeluang meraih pingat Sukan SEA dan Tahap 4 iaitu mana-mana sukan yang tidak dipertandingkan di temasya sukan utama, tetapi mewakili negara ke Kejohanan Dunia.

Mengulas lanjut, Saddiq turut mengesahkan eSports sudah mendapat kesan positif daripada sokongan kerajaan dengan memberi peruntukan RM10 juta untuk membangunkan sukan berkenaan.

"Ia (eSports) adalah sukan yang amat menarik dan masih baharu di Malaysia," tambah Saddiq.

"Kita mahu menjadikan Malaysia sebagai hub utama untuk eSports di rantau ini dan kita makin hampir ke arah itu.

"Apabila kerajaan mengumumkan RM10 juta untuk eSports, tanpa perlu menunggu lama mereka menerima mesej daripada CEO Razer (Tan Min Liang) yang akan turut melabur dengan jumlah sama.

"Ia secara tak langsung membuktikan industri itu kini berada di landasan tepat apabila beberapa pihak swasta sudah menyatakan hasrat untuk melakukan pelaburan."

Berita Harian X