Sabtu, 3 November 2018 | 8:27pm
LATT Shariman (tengah) menyerahkan Jalur Gemilang kepada atlet Malaysia ke Bangkok dan Barcelona untuk pertandingan Sukan Elektronik PES 2v2 Asia dan FIFA World Cup Playoff di MSN Bukit Jalil, januari lalu. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Peruntukan RM10 juta perlu dijelaskan - Latt Shariman

KUALA LUMPUR: Presiden ESports Malaysia (ESM) Datuk Latt Shariman Abdullah berkata, beliau masih tidak jelas berhubung hala tuju peruntukan sebanyak RM10 juta diumumkan kerajaan untuk pembangunan eSport di negara ini. 

“Jika dilihat sekali lalu, ia kelihatan kemenangan buat Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tapi bajet untuk RM10 juta itu adakah untuk pembangunan perisian eSport atau untuk sasaran atlet ke Kejohanan Dunia? 

“Mungkin ia adalah untuk kedua-duanya atau lebih kepada yang pertamanya. Itu yang tidak jelas,” kata Latt Shariman yang turut berkata peruntukan itu amat dialu-alukan. 

Selepas pengumuman bajet Jumaat lalu, komuniti eSports menyambut baik pengumuman itu terutama syarikat perkakasan permainan global, Razer.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Min-Liang mengumumkan tambahan RM10 juta sebagai tindak balas kepada tweet Syed Saddiq berhubung peruntukan RM10 juta untuk pembangunan eSport sebelum ini. 

“Bro, ia bajet yang amat progresif untuk Malaysia dengan peruntukan RM10 juta untuk eSport buat remaja dan golongan milenium.  Memandangkan itu saya juga akan melabur RM10 juta untuk sukan eSport di Malaysia pada 2019. Mari kita sama-sama membangunkan eSport ke peringkat lebih tinggi bersama-sama,” katanya. 

Sementara itu Kitamen, sebuah syarikat eSports tempatan yang pakar dalam produk dan perkhidmatan yang baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman bersama Media Prima Digital turut bertindak balas terhadap tweet ketua pegawai eksekutif, Hazman Hassan. 

“Selaras dengan keprihatinan dan minat dalam industri eSprots, Kitamen akan memperuntukkan RM100,000 sebagai pelaburan untuk membantu membangunkan sukan eSports di peringkat akar umbi di Malaysia untuk 2019. Mari kita bina impian indah ini.” 

Sementara itu, Latt Shariman berkata, beliau terkejut dengan peruntukan itu yang akan disalurkan kepada  Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Yasmin Mahmood.

“Pada mulanya saya sangat terkejut kerana ia (MDEC) adalah sebuah agensi kerajaan di bawah kementerian berlainan (Kementerian Komunikasi dan Multimedia MCMC) dan bukan Kementerian Sukan. 

“Kebiasaannya untuk pembangunan sukan, ia akan diletakkan di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) atau agensi di bawah kementerian itu. Oleh itu ia bukan di bawah bidang kuasa Syed Saddiq dan kementeriannya. 

“DNA MDEC adalah pembangunan perisian dan kami akan bekerjasama dengan MDEC untuk banyakkan aktiviti jadi kami akan berunding dengan mereka untuk mendapat gambaran lebih jelas,” katanya. 

Latt Shariman turut memaklumkan bahawa dua venue yang dimaklumkan oleh Syed Saddiq sebelum ini iaitu di Jalan Raja Muda Stadium di Kampung Baru dan AirAsia eSports Arena di Klang masih belum disahkan namun ESM turut mempunyai cadangan sendiri iaitu dibina di sekitar pusat Rakan Muda. 

Berita Harian X