Rabu, 14 November 2018 | 7:40pm
MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman - Foto BERNAMA

Tiada sukan terpinggir - Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Sukan yang tidak tersenarai pada temasya Sukan Olimpik tidak akan dipinggirkan.

Itu tegas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menjawab kegusaran dalam kalangan persatuan sukan yang tidak berada dalam senarai Sukan Olimpik.

Syed Saddiq yang ditemui ketika bengkel penetapan program latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini memaklumkan peruntukan RM100 juta yang diumumkan pada Belanjawan 2019 yang lalu akan disalurkan secara menyeluruh kepada semua jenis sukan.

Katanya, sukan seperti bowling dan skuasy yang banyak menyumbang kepada negara sesekali tidak akan dibelakangkan dan mereka juga akan tetap diberi perhatian sama rata.

“Bila Belanjawan dibentangkan banyak yang salah faham. Belanjawan yang diumumkan itu tidak dibentangkan secara terperinci dan RM100 juta itu bukan hanya untuk Sukan Olimpik semata-mata.

“Ia membabitkan banyak pecahan termasuk peningkatan peruntukan diterima MSN yang meningkat secara mendadak iaitu sebanyak 300 peratus,” katanya.

Bagaimanapun beliau mengingatkan peruntukan itu tidak boleh diambil sambil lewa selepas Kementerian Kewangan menegur supaya lebih fokus dan tulus serta mengelak pembaziran.

Kementerian Belia dan Sukan bersetuju melakukan penstrukturan semula program latihan atlet yang akan dibahagikan mengikut sistem berperingkat - Tahap 1 (Olimpik), Tahap 2 (Komanwel dan Asia), Tahap 3 (Sukan SEA) dan Tahap 4 (bukan temasya).

Ia secara tidak langsung menggambarkan tiga sukan dalam Tahap 1 - badminton, berbasikal dan terjun - akan memperoleh faedah terbesar berbanding sukan lain seperti bowling, skuasy dan sepak takraw yang diketepikan biarpun sebelum ini disenaraikan dalam Program Podium.

Seramai 11 atlet lelaki dan lapan wanita disenaraikan dalam Tahap 1 selepas penstrukturan semula program latihan.

396 dibaca
Berita Harian X