Rabu, 14 November 2018 | 9:04pm
KETUA Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail (kiri). - Foto BERNAMA

Tiada atlet 'anak emas' 

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) menegaskan sepatutnya tiada isu atlet 'anak emas’ timbul di sebalik penstrukturan semula Program Podium yang menggunakan pendekatan sistem tahap mengikut pengelasan temasya.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, tahap yang dibahagikan itu bukan bermaksud membezakan taraf atlet sebaliknya bertujuan mengiktiraf atlet sejajar dengan pencapaian mereka. 

"Sepatutnya tiada isu di sebalik keputusan kita kelaskan altet kepada pelbagai peringkat ini kerana tiada istilah selamat buat semua atlet dalam Tahap 1 hingga 4. 

"Malah, mereka yang berada dalam Tahap 1 juga berdepan digugurkan sekiranya kita dapati prestasi mereka merosot dan tidak memenuhi kriteria dalam empat penilaian yang akan dilakukan dalam tempoh setahun,” katanya.

Bercakap selepas majlis penutupan Bengkel Penetapan Program Latihan 2019 oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini, Shapawi menambah seramai 535 orang atlet dan 114 jurulatih dicadangkan oleh persatuan berdasarkan kriteria yang ditetapkan mengikut tahap yang dibahagikan. 

Senarai itu, katanya, akan dibentangkan dalam mesyuarat jawatankuasa pemilihan yang berlangsung pada 27 hingga 28 November ini.

Malah, Shapawi menyifatkan Bengkel Penetapan Program Latihan 2019 yang berlangsung di MSN selama dua hari itu disifatkan berjaya mencapai matlamat. 

Menurutnya, ia bukan satu program baharu sebaliknya adalah rutin yang diadakan setiap tahun untuk mengumpulkan semua persatuan bagi membincangkan program yang lebih baik. 

"Pada bengkel kali ini segala kelemahan dibincangkan dengan rumusan akan dibuat membabitkan peruntukan yang diperlukan selain membincangkan dasar latihan yang lebih baik," katanya. 

Akhir bulan lalu, Syed Saddiq mengumumkan Program Podium akan distruktur semula secara holistik yang akan dikendalikan sepenuhnya MSN.

Menurutnya, program baharu itu menggunakan pendekatan mengikut sistem tahap iaitu Tahap 1 untuk Sukan Olimpik, Tahap 2 (Sukan Asia/Komanwel), Tahap 3 (Sukan SEA) dan Tahap 4 (bukan temasya).

420 dibaca
Berita Harian X