Ahad, 16 Disember 2018 | 5:50pm
GAMBAR fail, pemain beregu campuran Malaysia, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying sewaktu beraksi pada kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2018 di Axiata Arena, Bukit Jalil. - Foto Eizairi Shamsudin
GAMBAR fail, pemain beregu campuran Malaysia, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying sewaktu beraksi pada kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2018 di Axiata Arena, Bukit Jalil. - Foto Eizairi Shamsudin

Norza hormati keputusan Peng Soon-Liu Ying

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menghormati keputusan beregu campuran utama negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying untuk meninggalkan badan induk itu.

Beliau mengakui pasangan berkenaan bertemu dengannya bagi menyuarakan hasrat mereka itu dan memaklumkan mahu bergerak secara profesional dalam persiapan menghadapi kelayakan Olimpik Tokyo 2020.

"Situasi Peng Soon-Liu Ying sama seperti Iskandar Zulkarnain Zainuddin (pemain perseorangan lelaki) apabila buat keputusan meninggalkan BAM. Saya faham apa yang mereka mahukan dan mereka juga faham apa yang BAM mahukan.

"Di BAM, kami mahu membentuk pemain yang sentiasa dahagakan kejayaan, ada karakter, memiliki kesungguhan meningkatkan prestasi mengikut regim kami dengan melalui program latihan yang lebih ketat termasuk dibantu dengan pendekatan sains sukan.

"Bagi Peng Soon-Liu Ying pula mereka mahu mengikut dengan cara mereka sendiri, jadi kami hormati pendirian mereka," kata Norza ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, BAM dalam satu kenyataan dikeluarkan memaklumkan badan induk itu menerima peletakan jawatan Peng Soon-Liu Ying sebagai pemain kebangsaan dan ia akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2019.

Mengulas lanjut, Norza berkata keputusan Peng Soon-Liu Ying itu juga akan membuka peluang kepada beregu campuran muda negara untuk menyerlah di pentas antarabangsa.

Sementara itu, Peng Soon-Liu Ying ketika dihubungi, berkata sekarang bukan masa yang sesuai untuk mereka mengulas lanjut mengenai keputusan itu, sebaliknya akan mengadakan satu sidang media dalam masa terdekat.

"Saya fikir ini bukan masa yang sesuai untuk beri komen. Namun, saya ingin ucapkan terima kasih kepada BAM sepanjang 12 tahun saya bersama badan induk itu yang mana saya bermula daripada kosong sehinggalah saya mencapai apa yang saya sudah capai sekarang," kata Peng Soon.

Sejak digandingkan pada 2009, Peng Soon-Liu Ying sudah mengecapi pelbagai kejayaan dengan kemuncaknya mereka meraih perak Olimpik Rio 2016.

Selain itu, mereka juga berjaya meraih beberapa gelaran antarabangsa antaranya juara Asia 2010, Terbuka Jepun 2012, Terbuka Russia 2017, Terbuka Australia 2016, Terbuka Amerika Syarikat 2018 dan Thailand Masters 2018.

Mereka juga muncul naib juara Seluruh England 2017, Terbuka Malaysia 2013 dan 2016 dan Terbuka China 2012.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X