Rabu, 26 Disember 2018 | 6:24pm
Poad berharap KOM mempertimbangkan cadangan menghantar atlet ke Amerika Syarikat dan berlatih bersama atlet di sana. - Arkib NSTP

Poad tolak cadangan lantik jurulatih AS

KUALA LUMPUR: Jurulatih pecut, Mohd Poad Md Kassim yang berjaya melahirkan raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan menyanggah cadangan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang mahu melantik jurulatih baharu acara berkenaan.

Baginya, badan induk itu perlu belajar daripada pengalaman dan mengambil iktibar dengan apa yang sudah berlaku, apabila beberapa jurulatih luar yang dilantik hanya mampu melahirkan seorang atau dua atlet berkualiti. 

Sebaliknya, Poad berharap KOM mempertimbangkan cadangan menghantar atlet ke Amerika Syarikat (AS) dan berlatih bersama atlet di sana yang mampu melakukan catatan bawah 10 saat, kerana itu cara terbaik mempertingkatkan prestasi mereka.

Malah, katanya, jurulatih pengiring juga boleh mempelajari ilmu di sana dan kembali berkongsi ilmu itu bersama jurulatih tempatan yang lain.

"Kita tidak perlu masa yang lama, cukup setahun. Mengikut perkiraan gaji yang diperuntukkan kepada jurulatih AS itu pasti tinggi dan jika kita mengikatnya lima tahun, jumlah itu lebih daripada cukup untuk perbelanjaan atlet pecut negara. 

"Saya harap MSN (Majlis Sukan Negara) dan KOM mempertimbangkan perkara ini kerana ia lebih berbaloi," katanya. 

Tegas Poad, gaya hidup rakyat AS juga akan memberi pengaruh positif terhadap atlet kerana budaya sebegini dapat memberi motivasi yang tinggi kepada atlet untuk sentiasa bekerja keras.

Selain itu, atlet negara juga dapat menimba pengalaman berlatih dengan pelari yang lebih baik dan ia mampu merangsang mereka mencapai prestasi maksimum.

"Banyak perkara positif yang boleh dipertimbangkan berbanding membawa jurulatih luar ke negara ini. Antaranya profesionalisme. Atlet kita dapat mempelajari bagaimana atlet profesional berlatih, daripada aspek tingkah laku dan hubungan dengan jurulatih serta rakan sepelatih. 

"Ada pihak yang sanggup membantu jika atlet negara dihantar ke AS, jadi kenapa tidak menggunakan peluang itu," katanya. 

Sebelum ini, bekas pelari lompat pagar AS, David Patrick, 58, dikatakan bakal dilantik sebagai Ketua Jurulatih Olahraga negara yang baharu.

Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim berkata Patrick, adalah calon di kedudukan teratas yang sedang dinilai kesatuan itu, berdasarkan kejayaannya dalam acara lari lompat pagar dan pecut, ketika era kegemilangannya di penghujung era 1980 hingga awal 1990-an.

Selain Patrik, KOM juga menerima permohonan calon lain dari Ukraine, Perancis, Afrika dan Jamaica.

Berita Harian X