Rabu, 26 Disember 2018 | 9:50pm
PAKAR Psikologi Klinikal Prof Datuk Dr Mat Saat Baki (dua dari kanan) bersama Presiden Pertubuhan Pemanah Tradisional Malaysia (Pertama), Muhamad Akmal Mohamad Dahalan (dua dari kiri) pada sidang media ‘Malaysia Destinasi Sukan Memanah Tradisional 2019’ di Wisma Transtel, Petaling Jaya, hari ini. Turut hadir, Presiden Gabungan Pemanah Selangor (GPS) Said Hawa Mohd Salleh (kiri) dan pemanah tradisional remaja Lee Jin Ming. - Foto BERNAMA

Baucar kemenangan buka laluan jadi pemanah tradisional kedua terbaik dunia

PETALING JAYA: Siapa sangka, bermula dengan baucar latihan percuma bernilai RM100, pemanah tradisional remaja Lee Jin Ming kini bergelar pemanah berkuda nombor dua dunia selepas muncul naib juara Kejohanan Memanah Berkuda Dunia ke-14 membabitkan peserta berusia bawah 16 tahun, di Korea Selatan pada Oktober lalu.

Lebih membanggakan, pemanah berusia 13 tahun ini hanya mengambil masa enam bulan untuk menguasai kemahiran menunggang kuda dan berbekalkan pengalaman selama tujuh tahun dalam memanah tradisional, beliau berjaya meraih tempat kedua bagi kategori ‘single shot’.

Menceritakan pembabitannya dalam sukan berkenaan, Jin Ming berkata beliau memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Memanah Tradisional anjuran Akademi Memanah Lagenda di Taman Tun Dr Ismail pada awal tahun ini.

Hadiah baucar mengikuti latihan memanah berkuda bernilai RM100 itu mencetuskan minatnya untuk terus berkecimpung dalam bidang sukan berkenaan di bawah bimbingan jurulatih Mohd Nasrul Kamarulzaman di akademi yang berpusat di Kelana Jaya.

“Saya mula menceburi sukan memanah tradisional pada usia tujuh tahun selepas diperkenalkan oleh keluarga dan selepas menang baucar itu, saya tertarik dengan sukan memanah berkuda,” katanya kepada Bernama selepas sidang media ‘Malaysia Destinasi Sukan Memanah Tradisional 2019’ di Wisma Transtel, di sini hari ini.

Mengakui sukar untuk mengawal kuda sambil melakukan panahan tepat, remaja ini berkata sepanjang latihan itu beliau terjatuh dari kuda lebih lima kali.

“Memang mencabar, namun disebabkan minat saya teruskan. Saya tidak sangka dapat tempat kedua di kejohanan itu kerana ia penampilan pertama saya,” katanya yang berharap dapat menyertai lebih banyak kejohanan antarabangsa pada masa depan.

Anak jati Kuala Lumpur itu tewas kepada pemanah tuan rumah manakala pingat gangsa pula milik pemanah China.

Sementara itu, Mohd Nasrul berkata anak didiknya adalah seorang yang pendiam namun cepat belajar serta tidak mudah berputus asa selain sangat tertumpu dalam latihan.

Menurutnya Lee kini mula berlatih memanah ‘recurve’ dan beliau yakin remaja itu mampu pergi lebih jauh.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Pemanah Tradisional Malaysia (Pertama), Muhamad Akmal Mohamad Dahalan, berkata pihaknya akan menganjurkan Kejohanan Memanah Antarabangsa di Taman Botani, Putrajaya pada Ogos tahun depan.

Sebanyak 15 negara mengesahkan penyertaan bagi acara memanah tradisional itu antaranya Hungary, Mongolia, Korea Selatan, China, Singapura, Thailand, Indonesia, Sepanyol dan Taiwan.

“Pada kejohanan ini kita ​​​​​turut mengadakan demonstrasi acara memanah berkuda kepada pengunjung yang hadir bagi mempromosikan sukan itu kepada umum,” kata Muhamad Akmal. - BERNAMA

859 dibaca
Berita Harian X