Khamis, 10 Januari 2019 | 7:58pm
FARAH Ayuni Yahya. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

'Ninja' Malaysia harumkan nama negara di England

 

KUALA LUMPUR: Kesungguhan Kelab Hoki East Grinstead untuk mendapatkan semula khidmat Farah Ayuni Yahya bagi baki saingan Liga Perdana England membuktikan betapa saham penjaga gol hoki nombor satu negara itu kian meningkat.

Biarpun ketika ini status Farah, 30, masih belum diketahui, namun khidmatnya sekali lagi ditagih pasukan yang menghuni tangga ketiga liga hoki di England.

Farah tampil cemerlang dalam sembilan daripada 10 perlawanan pertama, sebelum liga berhenti rehat bagi musim sejuk di negara berkenaan yang kini berada di ranking kedua dunia.

Malah, Grinstead sanggup menyediakan tiket pergi dan balik selepas dia mungkin terpaksa pulang ke tanah air untuk tugasan antarabangsa, sebelum kembali ke England untuk menghabiskan aksi playoff pada 13 dan 14 April nanti.

Farah ketika dihubungi hari ini mengesahkannya dan berkata, dia kini hanya menunggu Sijil Tiada Halangan (NOC) daripada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), selain mendapatkan pelepasan majikan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Saya hanya tunggu sijil NOC dan ia kemudiannya perlu diserahkan kepada PDRM sebagai majikan saya untuk mendapatkan pelepasan ke sana.

"Saya akan terus ke sana sebaik berakhir kempen Liga Hoki Wanita Malaysia 2019, kemungkinan besar pada 18 Februari dengan Grinstead juga akur apabila saya hampir pasti terlepas dua aksi awal pusingan kedua liga.

"Pada 30 Mac nanti, saya akan bergegas pulang untuk membantu Malaysia di kejohanan Jemputan Empat Negara di sini, sebelum kembali ke England untuk aksi playoff Liga Premier England,” katanya.

Bagaimanapun, Farah yang pernah ditabalkan sebagai Penjaga Gol Terbaik Trofi Juara-Juara Asia 2016 dan 2018 mengakui, fokusnya bersama Blue Warriors - pasukan hoki wanita PDRM - dalam saingan LHWM tidak pernah terjejas.

"Keutamaan saya ketika ini adalah bersama Blue Warriors dengan misi kami cuba memenangi sekurang-kurangnya satu piala, apatah lagi musim ini makin mencabar dengan kehadiran pasukan jemputan dari China," katanya.

Ditanya mengenai pandangan jurulatih Grinstead berhubung persembahannya, Farah menjelaskan setakat ini dia menerima reaksi balas yang positif.

"Alhamdulillah, Grinstead berpuas hati dengan prestasi saya dan ia amat melegakan kerana dapat meyakinkan jurulatih dalam kemunculan sulung di liga utama England."

Ketangkasan Farah di bumi England nyata mendapat perhatian peminat hoki England sehingga dia mendapat jolokan nama 'Ninja' di kalangan rakan sepasukan Grinstead.

Gelaran itu timbul ekoran reaksi balas pantas tangan dan kakinya dalam menepis percubaan lawan walaupun memiliki fizikal yang kecil.

Berita Harian X