Ahad, 13 Januari 2019 | 9:37pm
JOHN Beasley bergambar dengan dua pelumba basikal negara, Shah Firdaus (kiri) dan Azizulhasni (belakang) selepas mereka masing-masing meraih pingat gangsa dan emas acara pecut individu di Kejohanan Trek Asia 2019 di Jakarta, semalam. - Foto IG Azizulhasni

Beasley puji semangat kental pelumba  

 

KUALA LUMPUR: Kejayaan Azizulhasni Awang meraih emas dan bergelar raja pecut Asia dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom meraih gangsa dalam acara pecut di Kejohanan Trek Asia 2019 (ACC) adalah sesuatu fenomena luar biasa selepas mereka bergelut untuk melepasi pusingan kelayakan.

Ketua Jurulatih Skuad Basikal Trek Kebangsaan, John Beasley, berkata beliau tidak menyangka Azizulhasni dan Shah Firdaus mampu meraih podium selepas kedua-dua sekadar menduduki tangga ke-10 dan keenam pada sesi kelayakan di Velodrom Antarabangsa Jakarta, Indonesia.


SHAH Firdaus (kanan) raih pingat perak di Kejohanan Trek Asia 2019 di Jakarta, Indonesia, Khamis lalu.

Berikutan itu tidak hairanlah jika Beasley mengakui beliau amat gembira dengan pretasi dan kesungguhan ditunjukkan skuad berbasikal kebangsaan yang beraksi di ACC 2019.

"Biarpun Azizulhasni dan Shah Firdaus gagal mempamerkan aksi sebenar, namun saya bangga kerana mereka dapat meraih podium (emas dan gangsa dalam acara pecut) walaupun menghadapi banyak tekanan dan masalah di peringkat kelayakan.

"Malah, orang ramai juga mula sedar betapa Shah Firdaus adalah seorang pelumba yang baik, memiliki potensi besar dan mampu melakukan lebih baik pada perlumbaan akan datang," katanya ketika dihubungi sukan NSTP, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Beasley juga gembira dengan trio dianggotai Azizulhasni, Shah Firdaus dan Mohd Fadhil Zonis meraih gangsa dalam acara pecut berpasukan biarpun seorang daripada mereka disahkan mengalami demam denggi.

"Saya gembira dengan keputusan berkenaan terutama apabila seorang daripada mereka (Mohd Fadhil) disahkan mengalami denggi (sehari sebelum ACC bermula), namun tetap meneruskan perlumbaan bagi memastikan Malaysia boleh mengutip mata untuk kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Kejayaan Shah Firdaus menang perak dan Azizulhasni menduduki tangga kelima dalam acara keirin adalah satu keputusan mengejutkan dan hebat kerana mereka terpaksa bersaing dengan tiga pelumba bertaraf dunia dari Jepun dan seorang pelumba Thailand di pusingan akhir,” katanya.

Berita Harian X