Selasa, 15 Januari 2019 | 6:46pm
ZIYAD Zolkefli. - NSTP/Yazit Razali

Ziyad tumpu rekod dunia, Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Atlet paralimpik negara Ziyad Zolkefli memasang impian untuk sekali lagi melayakkan diri ke Sukan SEA selepas kejayaan meraih pingat gangsa dua tahun lalu.

Dia yang melakukan lontaran 17.12 meter di Stadium Nasional, Bukit Jalil, mengharapkan mampu memberikan persembahan terbaik sepanjang musim ini sekali gus mampu melayakkan diri beraksi pada Sukan SEA Filipina 2019.

“Tahun ini juga penting buat saya terutama dalam mengekalkan rekod dunia acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ziyad mencipta rekod dunia 17.29m pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di London dua tahun lalu, memecahkan catatannya sendiri 16.84m pada Sukan Paralimpik Rio 2016.

Bagaimanapun, untuk mencapai semua matlamat itu tahun ini, Ziyad berharap kekecewaan musim lalu dapat dilupakan buat seketika.

“Saya berasa agak sedih tahun lalu kerana mengalami kecederaan belakang. Bagaimanapun, ketika bergelut dengan masalah itu saya masih lagi mampu meraih emas pada Sukan Para Asia Jakarta 2018.

“Tahun ini juga saya akan menyertai beberapa kejohanan sebagai persediaan untuk beraksi pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di Dubai. Saya harus berhati-hati kerana sekarang ini ramai atlet dari negara lain sedang meningkat naik,” kata Ziyad.

Dua tahun lalu di London, dia berjaya mengalahkan atlet Colombia, Stalin David Mosquera yang meraih perak (16.72m), manakala gangsa milik Todd Hodgetts dari Australia (15.96m).

“Buat masa sekarang saya tak dapat menjangkakan siapa yang akan memberikan cabaran sengit di Dubai kerana ramai yang menunjukkan peningkatan,” katanya.

Berita Harian X