Khamis, 17 Januari 2019 | 6:55pm
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - Foto Mohd Fadli Hamzah

'Saya tak faham kenapa jadi isu'

 

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan beliau lebih menumpukan kepada sukan e-Sports (sukan elektronik) sehingga mencetuskan rasa kurang senang atlet negara.

Tegas Syed Saddiq, beliau sendiri tidak faham mengapa ia menjadi isu besar kerana peruntukan sebanyak RM10 juta untuk sukan itu bukan diberikan kepada kementeriannya.

"Secara jujur saya tak faham kerana di Kementerian Belia dan Sukan kita tak dapat peruntukan pun untuk e-Sports. 

"Yang dapat (peruntukan) adalah MDEC (Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia) yang diletakkan di bawah kementerian lain (Kementerian Komunikasi dan Multimedia).

"Untuk MSN (Majlis Sukan Negara) diperuntukkan sebanyak RM280 juta dan itu untuk sukan sedia ada, iaitu sukan tradisional dan sukan berprestati tinggi dikategorikan dalam Olimpik dan lain-lain.

"Jadi saya rasa (tuduhan) itu tak betul. Kami akan beri tumpuan sebaik mungkin kepada semua atlet untuk pastikan pembangunan sukan boleh dilakukan secara menyeluruh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan beberapa atlet negara yang mengambil keputusan untuk keluar daripada pasukan kebangsaan kerana dikatakan tidak berpuas hati dengan layanan kementeriannya.

Ia juga menghadirkan kritikan netizen yang juga tidak berpuas hati dengan apa yang dilakukan kementeriannya setakat ini.

Sementara itu, mengulas kritikan atlet lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin terhadapnya di akaun Instagram miliknya, Syed Saddiq berkata, beliau terbuka kepada kritikan yang dilemparkan kepadanya namun ia perlu melalui saluran yang betul.

"Masalahnya tak ada cubaan langsung untuk hubungi saya atau mana-mana pasukan saya dan pada masa sama terus luahkan di media sosial.

"Lepas itu apa yang dimaklumkan oleh MSN dan persatuan sukan dia sendiri (Kesatuan Olahraga Malaysia) bertentangan dengan apa yang dimaklumkan. Di situ mungkin ada salah faham.

"Jadi tanggungjawab saya adalah untuk cuba cari jalan penyelesaian secepat mungkin," katanya yang mengesahkan ada menghubungi Irfan hari ini untuk menyelesaikan masalah itu. 

Irfan semalam bertindak melepaskan kemarahan dan mempersoalkan kewibawaan Syed Saddiq di akaun Instagram sehingga mencetuskan pelbagai reaksi.

7437 dibaca
Berita Harian X