Selasa, 22 Januari 2019 | 6:21pm
Atlet karate Malaysia, Syakilla Salni Jefry Krisnan pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Status Atlet Karate Kumite di Majlis Sukan Negara Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - Foto Azhar Ramli

Syakilla ketuai program kelayakan Olimpik

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Karate Malaysia (MAKAF) mula menyusun strategi untuk membolehkan atlet negara dapat melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 termasuk menghantar Syakilla Salni Jefry Krisnan berguru selama tiga bulan di Amsterdam, Belanda.

Menurut Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail semua program berkenaan adalah persetujuan secara bersama antara MAKAF, pihaknya dan Syakilla.

"Kita mempunyai empat atlet yang mampu melayakkan diri ke Olimpik. Pertama Syakilla, Prem Kumar Selvam, A Somanroy dan P Madhuri. Kelebihan Syakilla adalah boleh bertanding di kejohanan bertaraf Karate 1 (K1) Liga Perdana (pungutan mata lebih besar) namun tiga lagi perlu bersaing di kejohanan kategori Siri A untuk membolehkan mereka beraksi di K1 Liga Perdana," katanya di mesyuarat MSN dan MAKAF di Bukit Jalil, hari ini.

Jelasnya, pungutan mata itu sangat penting buat keempat-empat atlet berkenaan kerana hanya yang berada di ranking 50 terbaik dunia tahun depan mampu beraksi di Kejohanan Dunia dan Kejohanan Asia untuk memburu slot ke Olimpik 2020.

"Jadi untuk permulaan fasa satu ini MAKAF dan MSN bersetuju menghantar Syakilla ke Amsterdam seawal Februari sebelum dia menyertai kejohanan K1 Liga Perdana di Dubai (15-17 Februari) dan selepas itu dia bersama tiga atlet lain akan mengambil bahagian di K1 Siri A di, Salzburg Austria (1-3 Mac).

"Selepas itu ada satu lagi kejohanan bertaraf K1 Liga Perdana di Rabat, Maghribi (19-21) dan kita berharap bukan hanya Syakilla malah ketiga-tiga atlet lain mampu layak dengan syarat mereka mengumpul mata di Austria," katanya.

Ditanya mengenai program Syakilla di Amsterdam, Ahmad Shapawi menjelaskan pemenang pingat emas Sukan Asia Incheon 2014 itu akan berlatih bersama sebuah kelab dan juga atlet kebangsaan negara berkenaan.

"Syakilla masih lagi berpangkalan di Malaysia, cuma ini sebahagian daripada program latihan di sana, sama seperti Welson Sim di Australia.

Dalam pada itu, Ahmad Shapawi juga menerangkan mengenai proses kelayakan ke Olimpik 2020, dengan empat atlet terbaik untuk kategori lelaki −67 kilogram (kg), −75 kg, +75 kg dan wanita −55 kg, −61 kg, +61 kg pada kedudukan ranking kelayakan sehingga April 2020 akan layak secara automatik.

Peluang kedua ialah atlet perlu menduduki tiga tempat terbaik di Kejohanan Dunia di Paris pada 8-10 Mei 2020 dan talian hayat terakhir muncul juara di Kejohanan Asia sebelum Persekutuan Karate Dunia (WKF) membuat pilihan dua atlet terbaik (seorang lelaki dan seorang wanita) akan ke Tokyo. 

Berita Harian X