Rabu, 23 Januari 2019 | 7:09pm
ZAINAL Abas.

Irfan kena yakinkan KOM - Zainal

KUALA LUMPUR: Muhammad Irfan Shamsuddin perlu meyakinkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) berhubung keinginannya untuk mendapatkan khidmat Imrich Bugar selaku jurulatih baharunya.

Ketua jurulatih olahraga negara, Zainal Abas berkata, pintu rundingan masih terbuka untuk atlet lempar cakera negara berusia 23 tahun itu, namun cadangannya itu perlu lebih terperinci.

Jelas Zainal, sebelum ini Irfan sememangnya sudah mengemukakan kertas cadangan untuk mendapatkan khidmat jurulatih dari Republik Czech itu, tetapi ia tidak dapat meyakinkan KOM.

"Salah satu permintaan KOM adalah mahu Irfan mendapatkan daripada jurulatih itu surat yang menyatakan beliau memang seorang jurulatih berkelayakan yang boleh melatih atlet lempar cakera.

"Apakah pula pencapaian atlet di bawahnya dan pelbagai aspek lagi.

"Apa yang Irfan berikan kepada kami sebelum ini ialah pencapaian jurulatih itu semasa zamannya dulu saja.

"Kami juga ingin tahu adakah jurulatih itu juga bersedia untuk menjadi jurulatih sepenuh masa di sini," katanya.

Jelas Zainal, pihaknya juga mahu melihat daripada jurulatih itu apakah perancangan jangka panjangnya untuk Irfan dalam memenuhi impian atlet itu untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Kami mahu tahu sasaran jurulatih itu untuk Irfan. Apabila ada semua maklumat ini, barulah kami boleh kemukakan kepada MSN (Majlis Sukan Negara) yang mungkin selepas itu tidak mempunyai masalah untuk mengeluarkan perbelanjaan.

"Sebab duit yang akan dibelanjakan nanti adalah duit rakyat. Jadi semua ini perlu diambil kira," katanya.

Irfan dalam laporan sebelum ini meluahkan rasa kecewa kerana kontrak jurulatihnya sebelum ini, Frantisek Petrovic ditamatkan selepas enam tahun membimbingnya.

Dia kemudian berusaha mendapatkan khidmat Bugar yang dibayar sendiri setiap bulan.

Irfan berlepas ke Prague, Republik Czech malam tadi untuk menjalani latihan selama tiga bulan di sana bersama Bugar dengan menggunakan perbelanjaan sendiri yang dianggarkan melebihi RM100,000 selepas permohonannya tidak diluluskan oleh MSN.

Berita Harian X